Oleh Sholina Osman
9 MEI 2024
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu sebuah premis di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah yang disyaki dijadikan stor haram tempat menyimpan dan mengedar gas petroleum cecair (LPG) pada 5 Mei lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut mendapati, terdapat 675 unit tong gas yang berisi dengan tong kosong pelbagai jenama ditemui di dalam dua buah lori dan rak yang berada dalam premis tersebut.
“Pemeriksaan awal juga mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen borong atau runcit yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media di Putrajaya.
Armizan berkata, penguat kuasa KPDN telah menyita 94 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 12kg, sebuah lori serta beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,000,” katanya.
Beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur 42 tahun yang juga pemilik kepada premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“KPDN memberikan amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” katanya.
Jelasnya, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi syarikat sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Selain itu katanya, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan gas petroleum cecair.
Tambahnya, jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.
“KPDN ingin memberikan peringatan kepada semua pihak yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana- mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk menjual LPGNtanpa lesen yang sah selain menjual LPG yang tidak mencukupi berat isipadu gasnya,” katanya.
Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – JM