Perkampungan Sunnah Ke-9 catat sejarah dengan kehadiran PMX

Oleh Sholina Osman
6 MEI 2024

PERKAMPUNGAN Sunnah Siri Ke-9 di Masjid Alwi, Kangar, Perlis kali ini mencatatkan sejarah apabila buat pertama kali hadirnya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih manis apabila Perdana Menteri juga menyampaikan ceramah khas bertajuk “Jihad Membina Negara”.

Yang mana tentatif inilah paling ditunggu oleh para pengunjung Perkampungan Sunnah bagi mendengar kupasan tajuk dengan lebih jelas.

Perkampungan Sunnah kali ini yang bertemakan “Jihad Memartabatkan Dakwah, Mempertahankan Ummah” ini adalah anjuran Jabatan Mufti Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Perlis Centre of Wisdom dari 3 hingga 5 Mei lalu.

Pelaksanaan Program Perkampungan Sunnah ini adalah bercorak pengajian pondok yang menjadi salah satu wadah untuk menjadikan Negeri Perlis sebagai negeri ilmu.

Antara intipatinya dalam ucapan yang disampaiikan oleb Anwar antaranya mengingatkan seluruh pimpinan sama ada kerajaan negeri mahupun Persekutuan agar memimpin dengan penuh tata kelola serta tidak terlibat rasuah.

“Ini kerana ia adalah merupakan antara jihad membina negara,” ucap Anwar.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu dapat diperbetulkan, maka kerajaan boleh mengawal pengurusan kewangan dengan lebih baik.

Anwar berkata, pemimpin negara Islam juga perlu berani dan bersikap tegas dalam menegur dan menyatakan pandangan berhubung isu kekejaman ke atas rakyat Palestin pada ketika ini.

Beliau berkata, dengan perkembangan mutakhir di Gaza jelas menunjukkan berlaku kelesuan suara pimpinan negara Islam.

“Kita hilang upaya dan kekuatan untuk menyatakan sikap keras dan tegas bagi menghentikan kekejaman penjajahan manusia ke atas manusia menyebabkan kerakusan Zionis Israel berterusan dengan dukungan negara Barat,” jelas Anwar.

Sebelum itu, Perdana Menteri juga turut menunaikan solat jemaah Maghrib sebelum menyampaikan ceramah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *