Sebuah kampung dijaga setiap pemimpin, saranan terbaik PMX

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
6 Mei 2024

Di sebalik kesibukan menjalinkan hubungan dengan pemimpin-pemimpin antarabangsa serta melobi syarikat-syarikat gergasi asing melabur di Malaysia, PMX juga tidak lupa kepada komuniti luar bandar khasnya di desa-desa.

PMX memang teramat sibuk menguruskan soal-soal besar selaku Perdana Menteri dan kerap pula terbang ke luar negara atas urusan rasmi sambil menarik pelabur menanam modal bagi kesejahteraan rakyat, namun Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti tidak pernah lupa terhadap kampung-kampung yang merupakan asas penempatan negara ini.

Lantaran itu, saranan PMX agar setiap pemimpin di negara ini menjaga sebuah kampung adalah pendekatan yang amat terpuji sekali.

Sejak merdeka, inilah pertama kali saranan seperti ini dikemukakan yang menyerlahkan kecintaan seorang ketua kerajaan untuk melihat kampung-kampung di negara ini terus mendapat perhatian serta pembelaan yang sewajarnya.

MESYUARAT KABINET RABU INI

Apa yang lebih mengggembirakan, Anwar akan membawa saranan itu kepada mesyuarat kabinet Rabu ini.

Menurut Anwar, saranan agar setiap pemimpin menjaga sebuah kampung adalah untuk mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi rakyat di semua kampung di negara ini.

Katanya, cadangan itu akan melibatkan semua pemimpin – pemimpin politik dalam kerajaan, anggota Kabinet, penjawat awam kanan dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ia akan dimulakan di Cherok Tok Kun di mana saya akan jaga Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam.

“Bagaimana saya jaga…saya akan panggil semua wakil masyarakat di kampung itu dan dia kena bagi tahu semua masalah yang ada di situ.

“(Contoh beritahu) ada yang menganggur, ada yang tercicir, miskin tegar, ada yang rumah dia robek, kemudian ada masalah dadah, masalah jenayah, perlukan TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) dan semua itu dibincang oleh orang kampung dan beritahu secara langsung kepada orang yang bertanggungjawab,” katanya.

Tegas Anwar, cadangan itu merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi di kampung-kampung selain pegawai daerah dan kerajaan terus menjalankan tugas serta tanggungjawab sedia ada mereka.

Beliau yakin cadangan pertama kali itu akan memudahkan penyelarasan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama ketua atau wakil kampung.

Tambahnya, cadangan setiap pemimpin menjaga satu kampung itu juga akan membuahkan hasil kerana ia akan melibatkan semua menteri, pimpinan tertinggi kerajaan dan GLC dalam mendengar masalah yang dihadapi masyarakat kampung di bawah jagaan mereka.

“Kalau kita ada KSN (Ketua Setiausaha Negara), setiausaha kerajaan negeri, semua ini kalau kita kumpul ada 2,000 orang yang jawatan-jawatan tinggi dan kemudian kita jemput pula syarikat-syarikat.

“Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, pengarah eksekutif Petronas misalnya, mereka jaga kampung dia.

“Dia pergi situ bukan sebagai Tan Sri, dia pergi sebagai anak kampung dengar masalah orang kampung. Jadi lebih senang nak selesaikan masalah,” jelas Anwar mengenai sarananya itu.

Dengan apa yang mahu dilaksanakan Perdana Menteri ini, sementara negara terus dipastikan berkembang maju dengan pelaburan asing mencurah-curah memakmurkan negara, kehidupan orang kampung tetap dipelihara dan dibangunkan agar seiring dengan kemajuan semasa.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *