Oleh Sholina Osman
5 MEI 2024
BERSEMANGAT sungguh wanita Perlis yang menghadiri bengkel sehari bertajuk “Bina Pasukan dan Pelan Tindakan Merakyatkan Malaysia Madani”.
Lebih kurang 28 wanita Cabang KEADILAN khasnya Ahli Jawatankuasa (AJK) Komunikasi, Penerangan dan juga ahli di negeri paling ke Utara ini berhimpun seharian dari pagi hingga petang demi untuk memahami dengan lebih jelas apa itu konsep “Malaysia Madani”.
Program Siri Ilmu Kali Ke-6 Jelajah Wanita Cemerlang MADANI yang diikuti oleh kumpulan wanita ini adalah anjuran Biro Penerangan Wanita KEADILAN Pusat dengan kerjasama Wanita KEADILAN Perlis.
Ia dikendalikan sepenuhnya oleh
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin.
MAMPU LAHIRKAN 500 JURULATIH MADANI
Jelas Noraini, diharap menerusi program ini diharap akan mampu untuk melahirkan 500 jurulatih MADANI dari seluruh negara.
“Jurulatih ini akan sebagai agen bagi menyampaikan dengan lengkap apa itu MADANI,” katanya.
Sehubungan itu, kata Noraini para peserta diberikan pengenalan mengenai MADANI, susur galur, visi dan juga misi.
Selain itu, katanya peserta juga diberi penerangan untuk lebih memahami dan menghayati enam sendi MADANI.
Noraini juga turut menghuraikan penggunaan media sosial (medsos) sebagai usaha bagi menarik perhatian pengundi.
Antaranya rajin memuatnaik status kegiatan kemasyarakatan masing-masing di Facebook (FB) dan sebagainya.
Selain itu, katanya, para peserta juga perlu bijak berkomunikasi supaya bermula dari sekarang sudah mula mendekati hati pengundi.
Salah seorang peserta yang ditemui, Ketua Wanita Cabang Arau yang juga Timbalan Ketua Wanita Negeri, S. Mariammah mengakui merasa bertuah dapat mengikut program ini.
Katanya, ini kerana bukan mudah untuk memperoleh ilmu yang berkaitan dengan usaha bagi menambat hati pengundi.
“Saya juga akui selepas ini merasa lebih yakin untuk menerangkan kepada kawan-kawan, jiran atau sesiapa sahaja jika ditanya mengenai MADANI,” katanya.
Ketua Wanita Cabang Padang Besar yang juga Ketua Wanita KEADILAN Negeri Perlis, Zainab Ibrahim mengakui program ini sangat memberikan manfaat.
“Ilmu ini amat berguna bagi kami semua supaya dapat lagi memantapkan lagi parti,” katanya.
Beliau berharap dengan ilmu ini akan membolehkan mereka merangka lebih banyak lagi idea bagi merancang strategi baik menambah baik parti. – JM