Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)
Peranan Wanita untuk memperkukuhkan lagi KEADILAN terus diiktirafkan dengan pelantikan Nurul Izzah Anwar dan Nor Azrina Surip menerajui Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Parti KEADILAN (PKR) telah melakukan rombakan terhadap MPN di enam negeri bagi tujuan memperkukuhkan lagi siap siaga parti bagi menghadapi PRU16 akan datang.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 18 Februari lalu dan berkuatkuasa serta-merta.
Rombakan tersebut melibatkan pimpinan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Jika sebelum ini Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi MPN Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, namun kini beliau hanya memberi tumpuan di Pulau Pinang.
Nurul Izzah akan dibantu Dr Mohamad Abdul Hamid yang bertindak sebagai timbalan pengerusi.
Keputusan diyakini untuk memantapkan kedudukan PKR di Pulau Pinang di mana Nurul Izzah ada tumpuan yang lebih khusus dalam usaha memperkuatkan serta perkasakan lagi parti.
Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang juga Naib Presiden PKR dilantik mengetuai MPN Perak dan Mohamad Hairul Amir Sabri sebagai timbalan pengerusi.
LANTIKAN NEGERI SEMBILAN
Di Negeri Sembilan, Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun dilantik pengerusi manakala Muhammad Nazri Kassim sebagai timbalannya.
Di Perlis, PKR melantik Noor Amin Ahmad sebagai pengerusi manakala Gan Ay Ling bertindak timbalan pengerusi.
MAMPU GALAS TANGGUNGJAWAB
Kedah menyaksikan Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah dilantik sebagai pengerusi dan Zamri Yusuf timbalan pengerusi, manakala Melaka, Mohd Rafee Ibrahim (pengerusi) dan R Jagatheason (timbalan pengerusi).
Semua lantikan yang dibuat adalah berdasarkan keyakinan pucuk pimpinan terhadap mereka yang berkenaan yang dipercayai mampu mengalas tanggungjawab yang diberikan dengan baik.
Apa yang menarik dalam rombakan ini ialah walaupun sebelum ini MPN Kedah dipimpin oleh Nurul Izzah, tetapi kini ia diserahkan kepada Nor Azrina atau Nurul Aina.
Ertinya, MPN Kedah daripada wanita kekal di tangan wanita.
Disamping pelantikan tersebut memperlihatkan keyakinan pucuk pimpinan yang kekal terhadap sosok wanita untuk menerajui MPN Kedah, di waktu yang sama ia juga melahirkan seorang lagi daripada kalangan Wanita KEADILAN untuk diberi peranan yang lebih besar dalam parti.
Memang tugas di hadapan Nor Azrina tidak mudah, bahkan penuh ranjau, tetapi kepercayaan pucuk pimpinan itu amat besar ertinya kepada Wanita KEADILAN seluruhnya.
Semoga pemimpin-pemimpin yang dilantik ini melaksanakan tanggungjawab dengan dengan penuh kesabaran dan kegigihan.
Sokongan tidak berbelah bahagi juga mesti diberi kepada mereka supaya misi parti dapat dicapai dengan cemerlang.
Tahniah kepada semua. Ayuh kita terus mara dengan bergaya.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat