Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)
Malaysia nampaknya terus menjadi tumpuan kehadiran pelancong-pelancong asing bagi tahun 2024 .
Jika tahun lepas, kedatangan pelancong adalah seramai 20 juta, sasaran bagi tahun ini ialah 27.3 juta orang.
Semua itu berjaya dicapai berikutan pihak yang bertanggungjawab mempromosi negara ini tidak henti-henti berusaha ke arah sasaran tersebut.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghafar juga amat yakin sasaran 27.3 juta itu akan berjaya dicapai berdasarkan beberapa usaha yang dilakukan pihak beliau.
Jelasnya lagi melalui pemberian Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa – Sewa Khas kepada syarikat penerbangan, Pelan Liberalisasi Visa dan promosi pelancongan di luar negara, sasaran 27.3 juga memang diyakini boleh dicapai bagi tahun ini.
“Apa lagi berdasarkan pencapaian tahun lalu, di sebalik sasaran kita adalah 19.1 juta, tetapi pelancong yang datang berjumlah 20 juta,” katanya.
Selain itu, tambah Dr Ammar, pihaknya turut menggalakkan lebih banyak penerbangan sewa khas datang ke Malaysia, di samping pertambahan laluan baru dan kekerapan penerbangan yang lebih banyak bagi mencapai sasaran yang diimpikan.
“Sebab itu kita berharap dengan adanya insentif Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa – Sewa Khas yang kita berikan kepada syarikat-syarikat penerbangan, kita akan mendapat lebih banyak penerbangan sewa khas datang ke Malaysia, bukan sahaja ke Kuala Lumpur, tetapi juga ke Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Tawau,” ujar beliau.
Bercakap kepada media selepas mengiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Tiong King Sing menyambut ketibaan pelancong sulung Malaysia Airlines bagi laluan Kuala Lumpur – Shenyang di Taoxian International Airport, Shenyang, China, Dr Ammar bagaimanapun berkata, pemberian geran itu tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya kekerapan penerbangan, pertambahan laluan baru dan penggunaan penerbangan sewa khas.
“Mana-mana syarikat penerbangan yang ingin menambah kekerapan penerbangan, seperti daripada dua kali kepada empat kali seminggu, kita juga memberi insentif kepada mereka.
“Kita akan berusaha tambah lagi program yang kita ada untuk penerbangan sewa khas ini kerana ia memberi kesan yang positif dari segi kedatangan pelancong,” ujar Dr Ammar lagi.
Dr Ammar juga memaklumkan, daripada Januari hingga kini, kira-kira 40 penerbangan sewa khas direkodkan telah datang ke Malaysia.
Berkenaan program Liberalisasi Visa, beliau berkata, bermula 1 Disember lepas, kerajaan telah membenarkan kemasukan tanpa visa pelancong China dan India, sekaligus melonjakkan kedatangan pelancong daripada China.
Pokoknya, lagi ramai pelancong datang ke negara kita, lagi banyak wang dari luar mencurah ke negara ini dan akhirnya, selain negara, rakyat dalam pelbagai bidang turut memperolehi nikmat yang melimpah daripadanya.
Oleh itu marilah kita bersama-sama membantu membina Malaysia melalui peranan masing-masing.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat