(Petikan Berita/Foto dari FB Fahmi Fadzil)
Ross Ariffin, seorang komposer terkenal yang suatu ketika dahulu pernah berada di persada industri muzik tanah air dengan lagu ciptaan beliau dinyanyikan oleh artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Jacklyn Victor dan Fauziah Latiff. Namun, hidup ini ibarat roda, kadang kita diuji dengan cabaran yang tidak pernah kita fikirkan.
Saya terbaca mengenai kisah Ross Ariffin menjadi gelandangan di Media Sosial dan saya terpanggil untuk mengenali beliau dengan lebih dekat untuk cuba membantu. Setelah kami bertemu, Ross menceritakan kisah sedih beliau makan di jalanan, kadang-kadang menjamah sisa-sisa makanan yang ditinggalkan di atas meja.
Kadangkala tiada langsung makanan seharian sampai ke malam.
Dengan nada percakapan yang tersekat-sekat akibat pernah mengalami serangan strok sebanyak dua kali, tangan Ross juga pernah patah dan masih tak sembuh.
Kesengsaraan beliau sebagai gelandangan hingga ke tahap jatuh menggigil dan pengsan akibat berada di tengah hujan terlalu lama.
Beliau sendiri menjangkakan hayatnya akan berakhir di situ. Namun, Allah SWT juga yang merencanakan segalanya.
Keesokan hari beliau terjaga, bangun dalam keadaan yang sangat lemah dan kesunyian di hospital.
Beliau berada di hospital sehingga Datuk Zainal menerima berita bahawa dia sedang terlantar di hospital. Datuk Zainal menghubungi Exco Kebudayaan Negeri Melaka, YB Abdul Razak Abdul Rahman dan meminta bantuan tempat perlindungan sementara. Ross akhirnya tidak perlu di jalanan lagi dan ditempatkan di tempat tinggal sementara. Terima kasih Kerajaan Melaka atas keprihatinan.
Sedih dengan keadaan beliau, saya dan pasukan berusaha menjejak Ross. Kami menghubungi Datuk Zainal dan beliau setuju untuk adakan pertemuan di Melaka.
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya bertemu dengan Ross.
Semasa bertemu, kami berbicara hati ke hati.
Saya tersentuh dengan segala pengalaman pahit dan kesukaran yang beliau lalui.
Namun, Ross masih punyai tekad dan iltizam yang kuat untuk kembali berkarya kerana minat yang cukup mendalam.
Saya dengar dengan teliti kata-kata beliau dan memberi semangat supaya tidak menyerah kalah dan terus berkarya kerana Ross punyai bakat yang sangat unik dan berupaya untuk kembali menjadi sebahagian daripada keluarga besar industri hiburan negara. Saya anggap ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab saya untuk membantu penggiat seni di negara kita.
Saya dengan pasukan meneliti beberapa perkara dan cuba membantu sebaiknya untuk beliau kembali berkarya.
Saya mohon pertimbangan daripada YB Dr Zaliha Mustafa , Menteri Wilayah untuk mengenal pasti sebuah unit PPR dan juga cuba dapatkan bantuan asas untuk keperluan rumah beliau.
Semasa melangkah masuk rumah PPR baharu, Ross macam tak percaya dia akhirnya mempunyai sebuah rumah sendiri untuk diduduki selepas 3 tahun menjadi gelandangan.
Saya juga berbincang dengan pihak RTM supaya Ross dapat bekerjasama dalam penciptaan lagu baharu bersama RTM supaya dia dapat bangkit semula.
Kami bertemu Pengarah Muzik, Dato’ Mokhzani untuk merancang penerbitan lagu baharu yang boleh beliau gubah.
Ross nampak begitu bersemangat untuk kembali berkarya.
Buat pertama kali selepas 3 tahun menjadi gelandangan, Ross berpeluang untuk duduk di depan sebuah Grand Piano dan jari-jemarinya terus lincah meneroka papan kekunci.
Saya sendiri berasa terharu melihat seorang komposer legenda melepaskan rindu bermain alat muzik.
Selagi mana saya berperanan sebagai Menteri dan Kerajaan Madani masih mentadbir, percayalah bahawa kami akan berusaha sedaya upaya buat para seniman.
Uncle Ross sedang mencari sebuah keyboard baharu dan sedikit wang tambahan untuk dia mulakan kembali kehidupan.
Jom pakat ramai-ramai berikan angpow kepada Ross agar sama-sama meringankan beban, supaya beliau boleh terus berikan sentuhan magis kepada industri muzik tanah air. Boleh derma di sini:
Roslan Ariffin Bin Jamil
Akaun BSN: 0410041100013234