Oleh Noraini Nordin (Analisis Berita)
Saat pembangkang dikhabarkan sedang ‘bercakar-cakaran’ gara-gara berebut jawatan,
Kerajaan Perpaduan terus utuh memperteguhkan lagi perpaduan yang diterajui oleh PMX Dato’ Seri Anwar Ibrahim .
Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Ipoh, Perak hari ini adalah satu lagi bukti bawa perpaduan PH/BN bukan sebarangan.
Perpaduan ini amat utuh dan tidak boleh lagi disangkal atau dimomok-momokkan.
Buktinya konvensyen hari ini berjaya menghimpunkan seluruh pemimpin parti yang membentuk kerajaan perpaduan peringkat negeri dengan mengangkat tema “Bersama Demi Malaysia”.
Bagi rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian, keharmonian dan kestabilan dalam berpolitik serta hidup bermuafakat, pasti dapat menarik nafas lega dengan perkembangan terbaru ini.
Peristiwa hari ini juga adalah satu lagi catatan manis yang boleh ‘menutup mulut’ ‘tong-tong kosong ‘ yang masih mengkhayalkan Kerajaan Perpaduan kononnya bakal runtuh.
Siri-siri fitnah oleh pihak pembangkang juga bakal tidak laku apatah lagi cubaan-cubaan ‘menebuk atap’ Kerajaan Perpaduan pasti tidak akan membuahkan hasil.
Lebih 1,500 perwakilan dari PH/BN menghadiri Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina , Ipoh, Perak yang berlangsung sehari suntuk hari ini.
Ucapan perasmian penutup disempurnakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden Parti KEADILAN Rakyat.
Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi BN Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Manakala ucapan penggulungan konvensyen dilakukan oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Menteri Besar Perak.
Turut berucap dalam sesi penggulungan ialah Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Perak.
Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat – bidalan yang amat bertepatan dengan konvensyen hari ini.
Mereka yang bermuafakat, bersefahaman dan bertoleransi pasti akan menang dalam meniti ranjau perjuangan.
Yang khianat serta suka mengadu domba pasti hati mereka tidak tenang, bahkan lebih mudah kecundang di tengah jalan.
Konvensyen itu juga menggambarkan wujudnya muafakat yang bijaksana, keikhlasan dan matang sebagai kunci utama untuk mengekalkan perpaduan yang telah sedia terbentuk.
Hari ini rakyat menjadi saksi bahawa PH/BN adalah gabungan yang matang dan mengutamakan negara serta rakyat dalam berpolitik.
Ayuh semua, mari kita bersama-sama berpadu tenaga dan perteguhkan persepakatan untuk memantapkan lagi jalinan
perpaduan ke pelusuk negara.
Marilah kita berlapang dada, membersih minda, menyuci hati dan berjiwa matang
demi memantapkan perpaduan serta kestabilan negara.
Malaysia Madani – adalah agenda mengangkat martabat rakyat yang amat diyakini.
Jom bersama kita sebar seluasnya mesej Madani bukan sahaja ke seluruh negara tetapi iuga hingga ke pentas dunia.
Ayuh terus mara bersama PMX membina Malaysia Madani yang cemerlang.
Penulis juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat