Oleh Noraini Nordin (Analisis berita)
Untuk kesekian kalinya Tan Sri Abang Johari Openg sekali lagi tampil menyatakan pendirian tidak berbelah bahagi GPS dalam memberi sokongan kepada PMX Datok Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS ) yang juga Premier Sarawak itu, dalam reaksi terbarunya, kekal tidak berubah dengan pendirian perlunya Anwar dikekalkan memimpin negara ini sehingga habis penggal.
Dalam satu program Townhall di Kuching semalam, beliau berkata, mengikut sistem demokrasi, ketentuan siapa menerajui kerajaan haruslah melalui pilihan raya.
“Jika Perdana Menteri sudah ada di sana, biarkanlah sampai habis kerana ketentuan kerajaan mengikut demokrasi adalah apabila pilihan raya diadakan maka keputusannya itu perlu kekal sampai habis.
“Kalau (kita tukar Perdana Menteri) tengah jalan, akan jadi satu situasi yang tidak menentu dan yang menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya.
Abang Johari juga menyeru semua ahli politik agar meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan sendiri.
“Kami di Sarawak berkehendakan negara Malaysia yang kuat.. kita lihat jiran kita sudah ke depan… Indonesia sudah membangun tetapi pemimpin kita masih main politik. Bagi Sarawak, kita sokong kestabilan politik,” tambah beliau.
Di sebalik GPS dikaitkan dikaitkan sekali lagi dalam cubaan menukar kerajaan melalui khayalan ‘Langkah Dubai ‘ baru-baru ini, penjelasan dan pendirian Abang Johari ini boleh dikira mampu menutup segala spekulasi yang sering bertebaran.
Mereka yang masih ghairah mahu menukar kerajaan bukan saja harus berhenti mengaitkan GPS dalam gerakan jahat itu, bahkan seharusnya berhenti terus daripada cubaan-cubaan lain selepas ini untuk menggugat kedudukan Anwar selaku Perdana Menteri.
Tanpa sokongan GPS yang mempunyai 23 Ahli Parlimen, blok pembangkang boleh terus bermimpi sahajalah untuk menukar kerajaan.
Sudah beberapa kali nama GPS dikaitkan dengan cubaan menukar kerajaan, namun setiap kali ia muncul, Abang Johari tetap dengan pendirian tidak berubahnya mahu kekal menyokong Anwar sehingga habis penggal.
Kekentalan pendirian GPS memang harus dipuji dan disanjung tinggi kerana ia melambangkan keinginan untuk melihat negara terus maju dan rakyat sentiasa dibela melalui kuasa politik atas kedudukan sebagai kerajaan dan mengenepikan sama sekali keghairahan mengejar jawatan yang bersifat hanya untuk nikmat peribadi.
Dalam hal ini, blok pembangkang sepatutnya tidak sukar untuk segera sedar diri bahawa impian untuk menjatuhkan kerajaan akan kekal sebagai sebuah mimpi.
Tidak usahlah lagi mereka terus menipu penyokong sendiri dengan cerita- cerita untuk menukar kerajaan yang tidak henti-henti.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat