Oleh Noraini Nordin
Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memperlihatkan kepada dunia sikap tegas dan tanpa komprominya terhadap Israel yang sejak puluhan tahun melakukan penindasan serta pembantaian kepada umat Islam di Palestin.
Langkah terbaru kali ini ialah melalui tindakan kerajaan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini, berkuat kuasa serta merta.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan media menegaskan, sekatan itu merupakan tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuat kuasa serta merta.
”Malaysia juga memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.
“Malaysia turut mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia,” kata Anwar lagi sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan media itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun yakin, keputusan kerajaan ini tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.
Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik ZIM untuk berlabuh di Malaysia dan pada 2005, Kabinet memberi kebenaran kepada kapal syarikat berkenaan mendarat di negara ini.
Namun, kerajaan madani berkuatkuasa hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet yang lalu itu.