Oleh Noraini Nordin
Kementerian Luar Negeri menjelaskan, isu ketiadaan kerusi yang kononnya dialami oleh Menteri Besar Kedah, Datok Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika menghadiri satu mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel di Alor Setar baru-baru ini adalah kerana beliau tidak dijemput dalam mesyuarat tersebut.
Dalam satu Siaran Akhbar Kementerian Luar Negeri yang bertarikh 1 Disember 2023 – itu juga menjelaskan Menteri Besar Kedah tersebut tidak terlibat dalam mesyuarat pre-council yang diadakan sebelum bermula lawatan kerja Anwar ke Sadao, Thailand.
“Sebaliknya, Sanusi hanya dijemput menyertai program lawatan rasmi Anwar bersama Perdana Menteri Thailand ke ICQS Bukit Kayu Hitam pada 2.15 petang 27 Disember,” jelas kenyataan itu lagi.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya menjelaskan, jemputan yang dibuat kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar Kedah melalui surat bertarikh 25 November 2023 hanya menyebut untuk beliau menyertai lawatan ke ICQs Bukit Kayu Hitam.
“Menteri Besar Kedah tidak terlibat dalam mesyuarat pre-council bersama Perdana Menteri dan surat bertarikh 25 November 2023 tidak menyebut tentang mesyuarat pre-council itu,” tambah kenyataan tersebut.
Namun, kata Kementerian Luar, apabila Sanusi mengambil keputusan untuk turut hadir ke mesyuarat pre-council ini, Anwar telah meminta disediakan kerusi untuk Menteri Besar Kedah itu.
Kementerian Luar Negeri juga menjelaskan, Menteri Besar Kedah sebenarnya turut tidak terlibat dalam lawatan rasmi Anwar ke Sadao, Thailand.
“Tetapi bagi memenuhi permintaan Sanusi di saat akhir, Perdana Menteri telah bersetuju mengizinkan beliau menyertai delegasi rasmi dalam lawatan ke Sadao itu,” kata Kementerian Luar.
Kementerian Luar Negeri menegaskan lagi, kenyataan ini dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenarnya iaitu Kementerian
Luar Negeri dan Perdana Menteri telah memberikan pertimbangan khas kepada Menteri Besar Kedah itu.
Ketika Sidang DUN Kedah baru-baru ini, Sanusi mendakwa beliau tidak diberikan kerusi ketika mesyuarat di sebuah hotel Alor Setar sebelum bermulanya lawatan rasmi Perdana Menteri ke Sadao, Thailand.
Sanusi membangkitkan perkara itu sebagai cubaan pihak-pihak tertentu yang didakwanya cuba mengeruhkan hubungan beliau dengan Anwar.