Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim telah menghadiri Majlis Makan Malam Gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Majlis ini turut dihadiri Naib Presiden Indonesia, Bapak Prof. Dr. (H.C.) K. H. Ma’ruf Amin dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Johari Tun Openg.
Dalam ucapan di majlis tersebut , Anwar menyeru negara-negara Islam untuk bekerjasama serta saling melengkapi dan bukannya bersaing secara agresif antara satu sama lain.
Beliau berkata, dalam keadaan pascanormal yang penuh dengan kerumitan, percanggahan dan ketidaktentuan yang berlaku secara serentak bererti kerjasama ini perlu disegerakan bagi memajukan dan mengangkat pembangunan di kalangan negara-negara Islam.
Tegasnya, negara Islam juga boleh menjalin kerjasama bagi meneroka potensi besar pasaran halal yang turut diakui oleh negara minoriti Islam yang saya pernah lawati sama ada di Asia atau luar Asia.
Beliau mengambil contoh Malaysia yang menjalinkan kerjasama rapat dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah terutamanya di wilayah Selatan Thai.
Ujar beliau langkah tersebut secara tidak langsung meningkatkan lagi hubungan dua hala, serta mengukuhkan peluang pelaburan dan perdagangan yang memanfaatkan rakyat terutamanya di kawasan miskin.
PMX turut berkongsi keazaman Malaysia untuk terus menerajui pasaran halal antarabangsa dengan menyasarkan nilai eksport sebanyak RM63.1 bilion menjelang 2025.
Menurut beliau , Malaysia telahpun mengambil langkah awal dalam mengorak legasi di sektor kewangan Islam, dengan pewujudan institusi seperti Bank Islam Malaysia dan Lembaga Tabung Haji.
Ujar beliau lagi, usaha ini telah membolehkan sektor kewangan Islam di Malaysia menjadi antara pasaran perbankan Islam dan pasaran modal Islam yang utama di dunia.
Anwar juga telah menyatakan bahawa sebagai sebuah negeri yang turut kaya dengan pelbagai etnik, budaya dan agama, usaha negeri Sarawak dalam memastikan kesejahteraan semua pihak terus terpelihara dan menjadikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan wajar dicontohi oleh para hadirin GMBF ini.
(Petikan FB Anwar Ibrahim – Berita/Foto)