Oleh Noraini Nordin
Kementerian Luar Negeri mengesahkan Puan Nurul Ain Haron, warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik perang di Gaza bersama suaminya, Mohamed A.M Shaat, seorang warganegara Palestin, telah selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah.
Puan Nurul Ain dan suaminya berjaya dibawa keluar pada 13 November, jam 8.23 malam waktu tempatan atau 2.23 pagi waktu Malaysia.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri menjelaskan, ketibaan pasangan berkenaan di Lintasan Sempadan Rafah telah dimudahcara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai-pegawai kedutaan yang lain.
“Sejurus tiba di Lintasan Sempadan Rafah, Nurul Ain telah dihubungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir melalui panggilan video untuk bertanya khabar,” kata kenyataan tersebut.
Kementerian Luar Negeri berkata, tindakan evakuasi ini dapat dilakukan dengan berkesan adalah berikutan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Presiden Arab Mesir, Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan ke negara tersebut pada 23 Oktober yang lalu.
“Berikutan pertemuan itulah berlakunya penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu menambah, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada Nurul Ain dan suaminya.
Seterusnya, Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Mesir, Kerajaan Qatar, Kedutaan Besar Arab Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama dan keutamaan yang diberikan kepada Malaysia dalam menjalankan proses evakuasi warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik di Gaza dengan selamat.