Tuduhan kerajaan kawal media, cuba jadi ‘Big Brother’ hanyalah tohmahan tidak bertanggungjawab- Fahmi

Oleh Noraini Nordin

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan sentiasa menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan media di negara ini.

Namun katanya, kebebasan itu tidak bermakna seseorang itu bebas untuk memfitnah dan mengeluarkan kenyataan tidak wajar berkaitan 3R.

“Bagi media, mereka boleh terus melaporkan berita dengan bebas selagi tidak melanggar Kod Kandungan yang selaras dengan Akta 588,” ujar beliau dalam jawapannya di Parlimen.

Beliau memberi jawapan demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang ingin tahu berkaitan komitmen kerajaan untuk memastikan kebebasan bersuara terjamin.

Tidak cukup dengan itu, tegas Fahmi lagi, sebagai komitmen untuk meningkatkan lagi kebebasan media, kerajaan juga bersetuju dengan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM).

“Maka, tuduhan atau persepsi kononnya kerajaan mengawal media dan cuba menjadi “Big Brother” hanyalah tohmahan yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya lagi.

Fahmi juga memaklumkan, sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan hari ini, belum ada seorang pun wartawan atau pihak media ditahan oleh pihak polis.

Selain itu, tegas beliau, tidak ada satu akhbar atau syarikat media pun yang ditutup dan ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *