Oleh Noraini Nordin
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendedahkan di Parlimen, perbelanjaan keseluruhan oleh pentadbiran terdahulu bagi kerja-kerja pengiklanan, promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan mencecah jumlah RM700 juta.
Katanya, perbelanjaan tersebut ialah bagi tempoh tiga tahun iaitu antara tahun 2020 hingga 2022.
Dua Perdana Menteri yang berkuasa dari tahun 2020 hingga 2022 ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ini bermakna, kata beliau, secara purata, lebih RM200 juta setahun dibelanjakan sepanjang pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini bagi tujuan menguar-uarkan usaha kerajaan melalui semua platform media massa.
“Ia termasuklah media cetak, media sosial, radio dan juga televisyen,” ujarnya.
Anwar menjelaskan demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran yang ingin tahu jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital dan juga media televisyen sepanjang tahun sejak tahun 2020 hingga kini.
Sehubungan itu, tegas Anwar, mengambil kira komitmen kerajaan pimpinannya untuk berbelanja lebih berhemah, beliau komited untuk mengurangkan belanja komunikasi berkaitan.
“Pada tahun ini, perbelanjaan setakat Oktober 2023 tidak mencecah RM100 juta dan itupun berdasarkan kontrak yang telah dimeterai pada tahun lalu iaitu sebelum Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara,” jelas Anwar lagi.
Bagi tahun depan iaitu 2024, Anwar berkata, beliau telah memgarahkan agar perbelanjaan promosi itu dikurangkan dengan tidak melebihi RM100 juta setahun.
“Bererti ia tidak lebih separuh daripada apa yang dibelanjakan oleh dua pentadbiran kerajaan sebelum ini,” tambah beliau.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat