Oleh Noraini Nordin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus memperjuangkan nasib rakyat dan negara Palestin tanpa menghiraukan sebarang ugutan dari negara luar.
Beliau berkata, perjuangan Malaysia dalam hal berkenaan merupakan suatu tanggungjawab dan ia akan diteruskan.
“Ada Ahli Parlimen Eropah yang usulkan perkara ini terhadap Malaysia.
“Tidak jadi masalah, jadi kita jangan hirau soal ini. Kita ada urusan kerja.
“Insya-Allah kita akan teruskan kerja kita,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan di Cyberjaya baru-baru ini.
Ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil malam semalam, Anwar membangkitkan tentang ugutan yang diterimanya berikutan kelantangan Malaysia memperjuangkan isu Palestin.
Pun begitu, Anwar menegaskan, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan yang diterimanya.
Ketika ditanya kesan daripada pendirian berkenaan terhadap keselamatan negara, Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak bimbang soal itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
“Soal keselamatan, Ketua Polis Negara ada. Mereka akan uruskan, jadi saya tidak bimbang,” jelasnya.
Razarudin semalam dilaporkan berkata Polis Diraja Malaysia memberi jaminan akan mempertingkatkan kawalan keselamatan terhadap Anwar dan tidak akan berkompromi terhadap perkara itu kerana ia menjadi keutamaan pasukan keselamatan negara.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat