Wanita KEADILAN Tidak Pernah Lupakan Sengsara Rakyat Palestin

Oleh Noraini Nordin

‘Hentikanlah perang’. ‘Noktahkanlah keganasan. Berilah rakyat Palestin hak untuk mendirikan negara berdaulat.
Tidak cukupkan 75 tahun menyiksa mereka?
Wahai warga dunia jangan pinggirkan rakyat Palestin .
Mereka manusia yang telah dinafikan hak kemanusiaannya.

Bagaimana kami mahu membendung perasaan bimbang apabila bumi Palestin berdarah kembali.
Semakin lama bertambah parah hingga luka-luka akibat perang tidak mampu dirawat lagi.

Langit Palestin sedang dihujani peluru, ribuan nyawa terkoban dan jutaan warganya telah kehilangan tempat tinggal .

Apabila bumi Palestin dibasahi darah dan dibanjiri lagi dengan airmata akibat siri-siri serangan Israel yang menggila Wanita KEADILAN bingkas untuk turut bersolidariti demi rakyat Palestin.

Walaupun pada Jumaat lalu kami
dalam keterujaan menanti PMX membentangkan belanjawan 2024 di Parlimen Malaysia Wanita KEADILAN tidak pernah melupakan Palestin.

Kami adalah antara ribuan yang turut menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang diadakan selepas Solat Jumaat di perkarangan Masjid Negara , Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2023 lalu.

Solidariti yang lahir daripada hati bukan untuk meraih populariti atau misi politik.

Seperti kata Ketua Wanita KEADILAN Pusat YB Fadhlina Sidek – Himpunan Solidariti ini untuk rakyat Palestin YANG MERENTASI PARTI.

Ini kerana himpunan tersebut turut disertai oleh Pemuda Perpaduan yang terdiri daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda UMNO, Pemuda Sosialis DAP dan Amanah.

Kegusaran jiwa yang tidak mampu dilindungi lagi apabila mengenangkan nasib rakyat Palestin yang pastinya paling terkesan adalah wanita dan kanak- kanak akibat bencana kemanusiaan yang bagai tiada noktahnya.

75 tahun perang yang sengsara . Tiada lagi perkataan yang mampu menggambarkan betapa pedih derita akibat perang.

Jutaan nyawa rakyat Palestin bagai tiada nilainya.

Harta benda dan kehidupan musnah.
Nyawa bagai di hujung tanduk.
Belum sempat mereka bangkit menganyam impian untuk membina kehidupan segalanya musnah di hujung bom-bom Israel.

Kami hanya menahan panas di himpunan sedangkan saudara kita di Palestin terbakar oleh ledakan bom sehingga ada jasad-jasad yang hangus dimamah api.

Bukan semua insan dikurniakan hati yang lembut untuk meminggirkan keselesaan diri untuk bersesak-sesak dalam perhimpunan tersebut apatah lagi merelakan kulit mulus dibakar mentari di perkarangan Masjid Negara.

Namun sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palesti kami hadir dengan rela hati.

Bagi Wanita KEADILAN yang diterajui Fadhlina Sidek, keputusan untuk turut menyertai himpunan tersebut adalah kerana Wanita KEADILAN tidak mahu sekadar menjadi penyokong biasa sahaja dalam pergolakan yang menumpahkan darah serta airmata rakyat Palestin.

Apatah lagi, dalam perang yang sedang mengganas itu, yang ramai menjadi mangsa ialah kaum wanita yang terdiri daripada ibu-ibu, isteri dan anak perempuan yang tidak berdosa.

Atas landasan tersebutlah dan ingin menzahirkan sokongan kepada perjuangan menuntut negara Palestin yang merdeka, maka Wanita KEADILAN kali ini memilih untuk tidak berdiam diri lagi.

Wanita KEADILAN telah menzahirkan solidariti tersebut secara terbuka dengan turut menyertai himpunan berkenaan.

Semoga langkah ini akan mampu membangkitkan kesedaran yang lebih tinggi di kalangan masyarakat tempatan dan dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Dengan sokongan yang turut ditunjukkan oleh kaum wanita, adalah diharapkan Himpunan Solidariti Bersama Gaza itu mampu memberi impak yang berbeza dalam menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Israel sejak sekian lama.

Wanita KEADILAN akan terus bersuara supaya warga dunia tidak terus ‘menutup mata ‘ serta ‘mentulikan telinga’.

Adalah sangat diharapkan.pemimpin-pemimpin kuasa dunia mesti campur tangan untuk membantu Palestin merdeka


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *