Oleh Noraini Nordin
Kutipan dana kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin yang diusahakan kerajaan kini sudah berjaya mengumpul sebanyak RM81 juta.
Ini bermakna jumlah yang dikumpulkan semakin menghampiri sasaran yang dimatlamatkan iaitu RM100 juta.
Dengan kejayaan mengumpulkan kutipan sebanyak itu hanya dalam tempoh beberapa hari ini dengan jelas memperlihatkan keprihatinan Malaysia dan rakyatnya terhadap kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang terjebak dalam konflik perang di Semenanjung Gaza.
Tabung Akaun Amanah Rakyat Palestin (AAKRP) diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan menyumbang RM10 juta sebagai dana awal kepada tabung berkenaan sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2024.
RM71 juta lagi adalah sumbangan pelbagai pihak di mana antara penyumbang terbesar untuk AAKRP ialah Khazanah Nasional Bhd (RM15.5 juta), Yayasan Albukhary (RM15 juta), YTL Corp Bhd (RM5 juta) dan Tenaga Nasional Berhad serta Jakel Holdings iaitu masing-masing RM3 juta.
Berucap di majlis penyampaian sumbangan Tabung AAKRP, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan pelbagai pihak sehingga RM81 juta berjaya dikumpulkan hanya dalam tempoh yang singkat.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
“Saya terharu pada masa singkat dengan dana awal kita dapat kumpul lebih RM80 juta yang akan memenuhi matlamat diumumkan peringkat awal iaitu RM100 juta.
“Ini menunjukkan keprihatinan dan terima kasih kepada syarikat kerajaan, swasta dan syarikat bukan Islam.
“Dana ini perlu diurus dengan cekap dan jangan ambil kesempatan untuk membina bangunan masing-masing, mengindahkan pejabat atau membelanjakan wang itu sesuka hati, padahal dana yang dikutip itu untuk bantuan kemanusiaan,” tegasnya memberi ingatan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan seterusnya memberi jaminan dana yang dikumpulkan itu akan dipastikan disalur terus untuk perubatan, makanan, minuman dan kemudahan asas bagi rakyat Palestin yang terjejas kehidupan mereka pada ketika ini.
Dalam kesempatan yang sama, beliau turut mengingatkan pihak yang mengutip derma untuk rakyat Palestin supaya sentiasa bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri masing-masing.
“Saya ingin nasihat rakan di masjid atau surau yang mengutip wang perlu bertanggungjawab dan ia perlu diurus dengan cekap.
“Selain itu, rakyat Malaysia juga perlu menyumbang mengikut saluran yang betul bagi mengelak wang disumbang disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.