SINDIKET DADAH EKSPLOITASI MEDIA SOSIAL DAN PLATFORM DIGITAL

6 November 2026

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius taktik sindiket pengedaran dadah yang semakin berkembang dengan menyalahgunakan media sosial, platform e-dagang, aplikasi komunikasi dan sistem pembayaran digital bagi menjalankan aktiviti jenayah. Antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk penggunaan akaun palsu, kumpulan komunikasi tertutup, transaksi e-Dompet serta perkhidmatan kurier melalui kaedah bayaran semasa penghantaran (COD) dan lokasi serahan tertentu.

“Perubahan taktik sindiket dadah menuntut pendekatan penguatkuasaan yang lebih dinamik, berasaskan teknologi dan kerjasama strategik bagi memastikan ruang digital tidak dieksploitasi untuk aktiviti jenayah.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.

Sehubungan itu, KDN melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh risikan dan pemantauan siber secara berterusan, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyedia platform digital, e-dagang serta syarikat kurier.

Usaha ini memberi tumpuan kepada pengesanan aktiviti pengedaran dadah dalam talian, mengenal pasti rangkaian sindiket dan mengambil tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Ruang digital mesti kekal selamat. Bersama kita banteras penyalahgunaan teknologi demi melindungi masyarakat, khususnya generasi muda, daripada ancaman sindiket dadah.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *