PEMBULI SIBER VS MANGSA: PENDERITAAN MANGSA DIJADIKAN BAHAN ‘HIBURAN’

Buli Siber bukan lagi sekadar pertelingkahan di ruang komen, sebaliknya boleh berkembang menjadi serangan berterusan yang menjejaskan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mangsa.

Berdasarkan analisis jenayah siber dan tingkah laku dalam talian, pembuli siber mempunyai pelbagai latar belakang dan motif.

Dalam sesetengah keadaan, pelaku merupakan individu yang dikenali mangsa, manakala sebahagian yang lain menggunakan identiti samaran atau bergerak secara berkumpulan.

EMPAT PROFIL UTAMA PEMBULI SIBER

Pertama, rakan sebaya dan kenalan rapat yang dianggarkan membentuk sekitar 40 peratus daripada profil pembuli dalam analisis tersebut.

Golongan ini termasuk rakan sekolah, kolej, universiti, rakan sekerja atau individu dalam lingkungan sosial mangsa.

Konflik peribadi, persaingan, cemburu dan dendam boleh menjadi antara pencetus serangan yang kemudiannya dibawa dari dunia sebenar ke media sosial.

Kedua, pengguna akaun palsu atau netizen anonim, dianggarkan sekitar 35 peratus.

Mereka menggunakan akaun samaran untuk melakukan serangan, mencari perhatian, mencetuskan provokasi atau menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan hiburan.

Identiti yang disembunyikan boleh menyebabkan pelaku berasa lebih berani melakukan tindakan yang mungkin tidak dilakukan secara bersemuka.

Ketiga, kumpulan serangan beramai-ramai atau cybermob, sekitar 15 peratus.

Dalam situasi ini, sekumpulan pengguna media sosial menyerang akaun seseorang secara serentak.

Serangan boleh tercetus apabila individu terbabit dianggap melakukan sesuatu yang tidak diterima oleh kumpulan berkenaan.

Keempat, bekas pasangan, sekitar 10 peratus.

Konflik selepas berakhirnya hubungan boleh membawa kepada gangguan digital, ugutan, pemerasan, penyebaran maklumat peribadi atau bahan peribadi tanpa kebenaran.

REMAJA JUGA MENJADI SASARAN

Golongan pelajar sekolah dan remaja antara kumpulan yang mudah terdedah kepada buli siber oleh rakan sebaya.

Serangan boleh berlaku menerusi kumpulan WhatsApp atau Telegram, akaun pengakuan sekolah dan media sosial lain. Antara bentuk gangguan termasuk pemulauan digital, penyebaran khabar angin serta ejekan terhadap fizikal seseorang.

Pempengaruh, selebriti dan pencipta kandungan pula berdepan risiko kecaman beramai-ramai, ancaman, fitnah serta serangan terhadap reputasi kerana kehidupan mereka lebih terdedah di ruang digital.

Wanita dan golongan muda turut boleh menjadi sasaran gangguan seksual dalam talian, cyberstalking serta ugutan untuk menyebarkan bahan peribadi, khususnya dalam kes yang melibatkan bekas pasangan atau individu yang obses.

Individu yang mempunyai pandangan kontroversi atau berbeza daripada kelompok majoriti juga berpotensi menjadi sasaran serangan daripada pengguna tanpa nama.

MENGAPA ORANG BIASA BOLEH MENJADI PEMBULI?

Antara persoalan penting ialah mengapa seseorang yang kelihatan tenang dan baik dalam kehidupan seharian boleh berubah tingkah laku apabila berada di sebalik skrin.

Salah satu penjelasan ialah online disinhibition effect, iaitu keadaan apabila seseorang berasa lebih bebas melakukan atau mengatakan sesuatu dalam talian kerana tidak berhadapan secara fizikal dengan mangsa.

Ketiadaan maklum balas emosi secara langsung juga boleh mengurangkan rasa empati.

Pembuli tidak melihat sendiri wajah mangsa, tangisan atau kesan emosi akibat kata-kata mereka.

Dalam serangan berkumpulan pula, berlaku fenomena deindividuation, apabila individu merasakan tanggungjawab mereka tersebar dalam kumpulan yang besar. Akibatnya, seseorang mungkin berasa bahawa tindakannya hanyalah sebahagian daripada tindakan orang ramai.

AKAUN PALSU BUKAN BERMAKNA BEBAS DARIPADA JEJAK

Perlu diingat penggunaan akaun palsu tidak semestinya menjadikan seseorang benar-benar tidak dapat dikesan.

Jejak digital, rekod teknikal dan kaedah forensik siber boleh membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan bergantung kepada fakta dan keadaan sesuatu kes.

Justeru, tanggapan bahawa seseorang boleh melakukan buli siber tanpa meninggalkan sebarang jejak merupakan satu risiko yang boleh membawa akibat undang-undang.

JANGAN NORMALISASIKAN BULI SIBER

Buli siber perlu dilihat sebagai isu keselamatan digital yang melibatkan bukan sahaja mangsa dan pelaku, tetapi juga keluarga, sekolah, komuniti, platform digital serta pihak penguat kuasa.

Mangsa tidak seharusnya berdiam diri. Sebarang ugutan, gangguan atau penyebaran kandungan yang memudaratkan wajar disimpan sebagai bukti dan dilaporkan melalui saluran yang bersesuaian.

Pada masa sama, pengguna media sosial perlu memahami bahawa satu komen, hantaran atau perkongsian yang dianggap sebagai gurauan boleh memberi kesan besar kepada kehidupan orang lain.

Jangan berlindung di sebalik skrin. Jejak digital tetap boleh meninggalkan kesan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *