MENIMBA PENGALAMAN CHINA, MEMPERKUKUH RANCANGAN MALAYSIA:KOORDINASI PUSAT-TEMPATAN DAN PERANAN BADAN PEMIKIR

Seminar Medium and Long-Term Development Planning for Developing Countries yang dianjurkan oleh International Cooperation Center, National Development and Reform Commission (NDRC) pada 14Oktober hingga 3 November 2026 merupakan platform perkongsian ilmu dan pengalaman mengenai perancangan pembangunan jangka sederhana dan panjang, khususnya bagi negara-negara membangun. Melalui siri kelas, syarahan dan lawatan di Beijing, Suzhou dan Hangzhou, peserta didedahkan dengan pendekatan China yang menggabungkan perancangan strategik negara, pembangunan ekonomi, inovasiteknologi, pengukuhan institusi dan pembangunan sosial. Sesi ini juga memberikan perspektif tentang bagaimana strategi pembangunan dilaksanakan di peringkat nasional, wilayah dan bandar.

Tumpuan kepada pendekatan ini ialah Rancangan Lima Tahun, yang kini sudah memasuki rancanganke-15. Pertembungan geopolitik antara China dan negara-negara Barat sering dilihat sebagai antara faktor yang mendorong kemandirian pembangunan negara tersebut. Namun, pengajaran yang lebih penting ialahbahawa pembangunan tidak bergantung pada pertumbuhan ekonomi semata-mata. Ia turut memerlukan kesinambungan dasar, keupayaan institusi dan, yang paling utama, penyelarasan antara kerajaan pusat dankerajaan tempatan supaya pelbagai sektor dapat dibangunkan secara serentak ke arah matlamat negara membangun.

Peranan badan pemikir menjadi tumpuan dalam pembentangan Zhejiang Development Planning Institute.Institusi ini diberi peranan khusus untuk menjalankan kajian dan analisis bagi mengusulkan hala tuju pembangunan Zhejiang. Tambahan pula, untuk tahun 2026 sahaja terdapat lebih 137 usul pembangunan bernilai 270-billion-yuan yang diunjurkan oleh institusi ini bagi tujuan pelaksanaan di peringkat perbandaran.

Namun, badan pemikir tidak wajar hanya menjadi perantara kepada pemerintah. Mereka perlu menerjemahkan keperluan rakyat terbanyak. Contohnya ialah Haining Leather and Fashion Centre.

Pada asalnya, setiap usahawan kecil menjual produk tanpa jenama dan bergantung kepada pembeli yang datang ke lokasi. Setelah meneliti fenomena ini, institusi tersebut mengusulkan kepada pemerintah supaya diwujudkan satu pusat jualan barangan kulit di bawah satu jenama tempatan yang mana memberi kesan dimana pusat itu menerima sekitar 10-14 juta pelawat setiap tahun. Pendekatan ini menunjukkan bagaimana pembangunan yang berpaksikan keperluan setempat dapat memberi manfaat langsung kepada penduduk.Setiap negeri di Malaysia yang ingin melahirkan jenama berteraskan kearifan lokal wajar mempertimbangkan peranan badan pemikir di peringkat kerajaan tempatan atau negeri.

Malaysia sebenarnya turut mempunyai tradisi perancangan lima tahun melalui Rancangan Malaysia.Salah satu cara untuk menjadikan trajektori pembangunan lebih adaptif ialah dengan memberi ruangkepada pemegang taruh di semua peringkat untuk menyampaikan maklum balas pada pertengahan penggal bagi tujuan penambahbaikan. Di China, mekanisme pengumpulan maklum balas awam berlaku dalam sistem politik satu parti dominan, dan kaedah tersebut tidak boleh dipindahkan terus ke Malaysia.Namun, elemen seperti kitaran perancangan yang konsisten, peranan badan pemikir dan saluran maklumbalas boleh disesuaikan dengan konteks demokrasi berparlimen kita. Sebagai contoh, Malaysia boleh mempertimbangkan satu platform koordinasi yang menghimpunkan ketua kampung dan ahli majlis kerajaan tempatan untuk menyalurkan maklum balas ke peringkat pertengahan penggal Rancangan Malaysia supaya pihak pelaksana di akar umbi turut berpartisipasi dengan aktif.

Bagi Malaysia, pengalaman ini boleh dijadikan asas perbandingan dalam memperkukuh agenda pembangunan negara, khususnya dalam konteks Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia, transformasiekonomi digital dan pengukuhan tadbir urus. Kejayaan pembangunan tidak diukur hanya melalui pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur, tetapi juga melalui keupayaan membina institusi yang berdayatahan, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan kekal relevan pada masahadapan. Tiga cadangan boleh dipertimbangkan: mewujudkan model badan pemikir di peringkat negeri,memperkenalkan mekanisme maklum balas pemegang taruh pada pertengahan penggal Rancangan Malaysia, dan menggalakkan inisiatif jenama tempatan berasaskan kearifan setiap negeri.

β€˜Atiqah Syairah bt ShaharuddinFelo Penyelidik IDE Research Centre &Institut Kajian Pilihan Raya & Pemajuan Demokrasi (IESAD) UNISEL

Reference https://govt.chinadaily.com.cn/s/202603/18/WS69dcbda6498e23165e06ebf0/zhejiang-prioritizes-private-sector-industry-and-innovation.html

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *