Malaysia kekalkan pengiktirafan WHO dalam mencegah HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak

MANILA, 19 Oktober 2026 – Malaysia mengekalkan validasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi eliminasi jangkitan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak. Pencapaian ini bermakna kadar jangkitan kekal dalam had yang ditetapkan WHO.

Validasi itu berdasarkan penilaian bagi tempoh 2021 hingga 2024. Malaysia pertama kali menerima pengiktirafan tersebut pada 2018, sebagai negara pertama di Rantau Pasifik Barat WHO yang mencapainya.

Menteri Kesihatan, Datok Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menerima sijil dan penghargaan itu sempena 77th WHO Regional Committee for the Western Pacific di Manila pada 19 Oktober 2026.

Program Pencegahan Jangkitan HIV dan Sifilis dari Ibu ke Anak (PMTCT) telah menjadi sebahagian daripada perkhidmatan kesihatan ibu dan anak di Malaysia sejak 1997.

Sepanjang tempoh penilaian, lebih 95 peratus ibu hamil menjalani saringan HIV dan sifilis. Dalam kalangan ibu hamil yang hidup dengan HIV, sekitar 99 peratus menerima rawatan antiretroviral.

Pada 2024, kadar jangkitan HIV daripada ibu kepada bayi ialah 1.52 peratus, di bawah sasaran WHO iaitu kurang daripada 2 peratus. Bagi sifilis, kadar jangkitan dalam kalangan bayi akibat jangkitan daripada ibu ialah 10 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup. Had eliminasi WHO ialah tidak melebihi 50 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

Pencapaian ini mencerminkan usaha anggota kesihatan di semua peringkat serta kerjasama agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan swasta, Majlis AIDS Malaysia, pertubuhan masyarakat sivil, komuniti dan WHO. KKM berkata usaha itu membantu memperkukuh kesihatan ibu dan anak serta akses kepada saringan, rawatan dan penjagaan kesihatan berkualiti.

KKM akan meneruskan pengesanan awal, rawatan dan susulan untuk ibu serta bayi. Ibu hamil disarankan mendapatkan penjagaan antenatal seawal mungkin dan melengkapkan saringan serta rawatan yang disyorkan bagi melindungi kesihatan diri dan anak.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *