
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pegawai-pegawai KKM yang telah diluluskan pemangkuan dan kenaikan pangkat ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) serta ke Gred 10 sehingga Gred 15 oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPPA) pada 13 Oktober 2026.
Pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat ini melibatkan seramai 6,724 orang pegawai KKM daripada pelbagai skim perkhidmatan. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian untuk menghargai komitmen, dedikasi serta pencapaian pegawai dalam memastikan kelancaran operasi serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Selaras dengan penambahbaikan laluan kemajuan kerjaya di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), LKPPPA juga telah meluluskan Kriteria Kecemerlangan Kenaikan Pangkat Tanpa Kekosongan Jawatan Bagi Skim Perkhidmatan Pengajar KKM. Kelulusan ini memberi peluang kepada pegawai terlibat menikmati laluan kemajuan kerjaya yang lebih baik.
Selain itu, KKM turut merakamkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan empat (4) orang pegawai KKM yang berkhidmat sebagai anggota Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) dan telah terkorban dalam nahas helikopter ketika menjalankan tugas pada 8 September 2026. Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan, keempat-empat pegawai tersebut telah diluluskan kenaikan pangkat secara anumerta (posthumous).
KKM percaya bahawa pengiktirafan seperti ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan serta memperkukuh semangat pegawai-pegawai KKM untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi sistem kesihatan negara yang berkualiti, mampan dan responsif.
KKM akan terus meneliti dan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan serta pembangunan kerjaya pegawai-pegawai KKM sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
17 OKTOBER 2026
Lampiran: Senarai Urusan Pemangkuan dan Kenaikan Pangkat
Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi
Urusan Gred Bilangan
Pemangkuan Utama/Khas A 8
Pemangkuan Utama/Khas B 23
Pemangkuan Utama/Khas C 32
Kenaikan Pangkat Utama/Khas A 5
Kenaikan Pangkat Utama/Khas B 23
Kenaikan Pangkat Utama/Khas C 38
Jumlah 129
Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional
Urusan Gred Bilangan
Pemangkuan Pelbagai Skim Perkhidmatan dan Gred 143
Kenaikan Pangkat Pelbagai Skim Perkhidmatan dan Gred 6,452
Jumlah 6,595
Jumlah keseluruhan: 6,724 orang pegawai KKM.
