MASA DEPAN MAHASISWA DIBELA, 10,000 KEDIAMAN SISWA JADI KEUTAMAAN KERAJAAN

KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER 2026 – Akses kepada kediaman yang selesa dan kondusif merupakan antara keperluan penting mahasiswa dalam menuntut ilmu serta membina masa depan. Menyedari cabaran penginapan yang sekian lama dihadapi golongan pelajar, Kerajaan mengambil langkah memperkukuh penyediaan kediaman mahasiswa menerusi pelancaran Projek Residensi Siswa Universiti Malaya.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyempurnakan pelancaran projek berkenaan hasil kerjasama strategik antara universiti dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menerusi Belanjawan MADANI 2027, fasa pertama projek ini bakal menyediakan kediaman untuk 10,000 mahasiswa, manakala Projek Vista Kampus akan diperluas ke enam universiti terpilih, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek ini merupakan keutamaan Kerajaan. Penyelarasan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Tinggi diperlukan bagi memastikan projek dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.

Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah mencerminkan usaha menangani keperluan asas mahasiswa agar mereka dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran dalam persekitaran yang lebih kondusif.

Bagi mahasiswa, kediaman yang bersesuaian membawa makna lebih besar daripada ruang untuk berteduh. Ia turut berkait dengan kesejahteraan kehidupan kampus, pengurusan perbelanjaan dan peluang membina masa depan melalui pendidikan.

Kediaman mahasiswa, masa depan negara. Komitmen memperkukuh kemudahan penginapan ini menjadi sebahagian daripada usaha memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian dalam agenda pembangunan negara.

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *