
CYBERJAYA, 1 Oktober 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
MCMC menegaskan bahawa penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga merupakan perkara yang tidak wajar dipandang ringan, khususnya apabila melibatkan saat kehilangan dan kedukaan.
MCMC TELITI KANDUNGAN DAN HUBUNGI PLATFORM
MCMC memaklumkan bahawa pihaknya telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan berkenaan.
Sekiranya hasil penelitian mendapati terdapat pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
ORANG RAMAI DIMINTA SEMAK KESAHIHAN KANDUNGAN
MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai turut digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi serta melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform media sosial atau pihak berkuasa berkaitan.
PENGGUNAAN AI PERLU DISERTAI TANGGUNGJAWAB
MCMC mengakui bahawa kemajuan teknologi AI menawarkan pelbagai manfaat kepada masyarakat. Namun, penggunaannya perlu disertai tanggungjawab dan tidak seharusnya dijadikan alat untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga menjejaskan maruah serta nilai kemanusiaan.
Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
