
55 RAKYAT MALAYSIA MASIH BELUM DAPAT DIHUBUNGI, USAHA KENAL PASTI STATUS DITERUSKAN DI NEPAL
PUTRAJAYA, 14 September 2026:
Seramai 55 rakyat Malaysia masih direkodkan belum dapat dihubungi** susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China, dengan usaha mendapatkan kepastian mengenai status mereka terus dilaksanakan.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berakhirnya penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Nepal tidak bermakna usaha mendapatkan kepastian mengenai rakyat Malaysia yang terjejas telah tamat.
SMART yang kembali dari Nepal hari ini akan memberikan taklimat kepada Kementerian Luar Negeri di Putrajaya berhubung penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.
MENGGUNAKAN DRON
Sepanjang berada di Nepal, pasukan berkenaan melaksanakan pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan mendapat kebenaran pihak berkuasa Nepal, termasuk pencarian darat serta tinjauan udara menggunakan dron.
Kementerian bersama agensi berkaitan akan meneliti maklumat yang diperoleh SMART serta perkembangan terkini daripada pihak berkuasa Nepal bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.
Sembilan dron diserahkan kepada Nepal
Dalam usaha menyokong operasi tindak balas bencana Nepal, SMART turut memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat negara itu.
Sebanyak sembilan buah dron turut diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana.
Tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu yang akan mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal.
Kedutaan juga akan membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan dan melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.
Usaha turut diteruskan di China
Dalam pada itu, usaha mendapatkan perkembangan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas di China turut diteruskan.
Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China bagi mendapatkan maklumat yang dapat membantu menentukan status rakyat Malaysia yang terlibat.
Kementerian Luar Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal dan pihak berkuasa negara itu atas kerjasama serta bantuan sepanjang penugasan SMART dan sokongan berterusan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.
Kementerian pada masa sama memahami kebimbangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai insan tersayang.
Kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat dan akan menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang telah disahkan.
Sekiranya terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.
Kementerian turut menggesa orang ramai dan pihak media menghormati privasi keluarga terlibat serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi berdasarkan maklumat yang telah disahkan.
