




LIANYUNGANG, CHINA, 10 September 2026 — Malaysia dan Pakistan bersetuju memperkukuh kerjasama keselamatan dua hala dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan persefahaman serta menghasilkan impak yang boleh diukur demi keselamatan rakyat kedua-dua negara.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dengan Menteri Dalam Negeri Pakistan, Senator Syed Mohsin Raza Naqvi, di sela-sela Global Public Security Cooperation Forum Lianyungang (GPSCFL) 2026 di China.
Pertemuan berkenaan merupakan kesinambungan daripada lawatan kerja rasmi Saifuddin ke Pakistan pada bulan lalu yang menghasilkan beberapa persefahaman penting dalam bidang keselamatan.
LANGKAH SUSULAN
Menurut Saifuddin antara langkah susulan yang dicadangkan ialah penubuhan Joint Working Group antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Pakistan bagi menggerakkan kerjasama dalam keselamatan, kawalan narkotik, latihan kepolisan, pertukaran risikan serta bidang berkaitan.
” Malaysia turut bersedia menerima delegasi pertama Pakistan bagi meneruskan agenda kerjasama yang telah dikenal pasti.
” Dalam aspek perundangan dan pengurusan banduan, kedua-dua negara turut membincangkan pelaksanaan International Transfer of Prisoners Agreement yang ditandatangani pada 21 Ogos lalu,” kata Saifuddin dalam perkongsian di laman media sosial hari ini.
Jelas beliau lagi, Malaysia telah mengenal pasti secara awal 52 banduan warga Pakistan yang berpotensi dipertimbangkan untuk pemindahan, tertakluk kepada syarat perjanjian serta proses individu yang ditetapkan.
Katanya , kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi penguatkuasaan Pakistan turut diperkukuh, meliputi latihan kepolisan, keselamatan siber dan digital, pemerdagangan orang, siasatan kewangan serta usaha memutuskan rangkaian jenayah rentas sempadan.
KERJASAMA LANGSUNG
Ujar beliau lagi kerjasama langsung antara PDRM dan Anti-Narcotics Force (ANF) Pakistan juga akan diperkasakan berdasarkan pengalaman kerjasama terdahulu dalam lebih 28 kes.
Menurut beliau, pertemuan itu turut menyentuh ancaman keselamatan yang semakin kompleks termasuk keganasan, rangkaian ekstremis, pembiayaan keganasan, jenayah siber dan jenayah rentas sempadan berasaskan teknologi.
Saifuddin berkata, ancaman yang bergerak pantas dan merentasi sempadan memerlukan pertukaran risikan, pembangunan kapasiti serta kerjasama operasi antara negara turut bergerak pada kadar yang sama.
Menurut beliau, hubungan Malaysia-Pakistan telah mempunyai asas yang kukuh dan keutamaan kini adalah memastikan setiap persefahaman diterjemahkan kepada pelaksanaan serta menghasilkan impak nyata terhadap keselamatan rakyat kedua-dua negara.
