
GENEVA, 2 September – Risiko penularan penyakit di Gaza dijangka meningkat menjelang musim hujan berikutan pencemaran air yang semakin serius dan keadaan penempatan penduduk yang sesak.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan pencemaran mikrobiologi dalam sampel air meningkat hampir tiga kali ganda, daripada kurang enam peratus pada Januari kepada lebih 18 peratus pada Ogos.
Keadaan itu turut menyumbang kepada peningkatan kes cirit-birit akut yang hampir berganda, daripada kira-kira 27,000 kes pada Mac kepada lebih 48,000 kes pada Ogos.
Wakil WHO di wilayah Palestin, Reinhilde Van de Weerdt berkata, kekurangan bekalan air bersih pada kuantiti minimum diperlukan menjadi antara kebimbangan utama ketika ini.
Beliau turut memberi amaran bahawa kedatangan musim hujan boleh memburukkan lagi keadaan, khususnya apabila sebahagian besar penduduk tinggal dalam khemah yang sesak, berhampiran runtuhan dan sistem kumbahan yang melimpah.
WHO turut menyatakan kapasiti makmal yang terhad di Gaza menyebabkan tidak semua bahan pencemar dalam air dan persekitaran dapat dikesan.
