
PUTRAJAYA, 19 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi
Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana sedang giat
melaksanakan projek pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah-sekolah
bagi memenuhi keperluan pertambahan murid Tahun 1 bagi sesi
Kalendar Akademik 2027.
Sejumlah RM668 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pelaksanaan
524 projek yang melibatkan pembinaan sebanyak 1,780 bilik darjah
tambahan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ia merangkumi pembinaan 1,255 bilik darjah aliran perdana dan
525 bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
bagi menampung pertambahan sebanyak 43,925 murid aliran perdana
dan 5,250 murid aliran PPKI.
KPM melalui JKR Sarawak turut melaksanakan 84 projek di
Negeri Sarawak melibatkan pembinaan 210 bilik darjah tambahan
yang merangkumi 140 bilik darjah aliran perdana dan 70 bilik darjah PPKI
dengan anggaran kos sebanyak RM81.5 juta bagi menampung
pertambahan sebanyak 4,900 murid aliran perdana dan 700 murid
aliran PPKI.
Manakala di Sabah pula, KPM melaksanakan 73 projek melibatkan
pembinaan 112 bilik darjah tambahan yang merangkumi 92 bilik darjah
perdana dan 20 bilik darjah PPKI dengan anggaran kos sebanyak
RM58 juta bagi menampung pertambahan sebanyak 3,920 murid
aliran perdana dan 200 murid aliran PPKI.
Terkini, beberapa projek telah berjaya disiapkan mendahului jadual
(ahead of time – AOT) termasuk SK Durian Mas, SK Banggol Peradong dan
SK Kampong Tengah di Terengganu.
Projek lain dijangka siap sepenuhnya
secara berperingkat menjelang bulan Disember 2026 untuk persediaan
menerima pertambahan murid Tahun 1 pada sesi akademik yang akan
datang.
Pembinaan projek bilik darjah tambahan yang sedang giat berjalan di
seluruh negara adalah cerminan komitmen jitu Kerajaan terhadap agenda
pendidikan negara dan bagi memastikan pelaksanaan kemasukan murid
umur enam tahun ke Tahun 1 berjalan lancar seperti yang dirancang.
