Penipuan dalam talian makin canggih, keluarga disaran guna ‘frasa rahsia’ sahkan identiti

8 Ogos 2026

Kemajuan kecerdasan buatan (AI) termasuk teknologi menghasilkan video palsu dan mengklon suara menyebabkan orang ramai tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada apa yang dilihat atau didengar untuk mengesahkan identiti seseorang.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abd Wahab berkata perkembangan teknologi turut mengubah kaedah penipuan dalam talian sehingga penjenayah mampu menghasilkan kandungan menyerupai individu sebenar.

Katanya nasihat keselamatan sebelum ini yang menekankan supaya pengguna tidak menekan pautan mencurigakan masih relevan namun tidak lagi mencukupi dalam menghadapi ancaman penipuan menggunakan teknologi baharu.

“Sekarang disebabkan teknologi, ia bukan lagi pasal klik pautan saja tetapi kita kena perhatikan sama ada betul ini video dia atau gambar dia.

“Betulkah ini suara dia? Kadang-kadang kita tak dapat membezakan sama ada ia betul atau tidak.

“Bila kita melihat sesuatu, jangan terus percaya. Bila kita mendengar sesuatu suara, jangan terus sahkan itu adalah dia. Kita perlu buat pengesahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Penipuan Dalam Talian sempena Konvensyen PIBG Internet Selamat di Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Amirudin berkata penipu juga lazimnya cuba mempengaruhi emosi mangsa sehingga mereka terdorong membuat keputusan dengan pantas termasuk melalui situasi yang menimbulkan rasa takut, cemas atau teruja.

Justeru itu, katanya pengguna perlu berhenti seketika untuk menilai sama ada sesuatu permintaan itu munasabah sebelum mengambil tindakan dan seterusnya melakukan pengesahan.

Beliau berkata pengesahan perlu dibuat melalui saluran berbeza terutama apabila menerima panggilan atau mesej mencurigakan yang membabitkan permintaan wang.

Beliau mengingatkan pengguna tidak seharusnya bergantung kepada nombor telefon sama yang menghubungi mereka sebaliknya menghubungi nombor rasmi atau ahli keluarga lain bagi memastikan identiti individu berkenaan.

“Pengesahan ini kita boleh gunakan saluran lain. Jangan guna nombor telefon yang sama.

“Kalau seseorang ibu bapa dapat panggilan daripada anak mungkin boleh hubungi adik-beradik dia dan sebagainya. Maksudnya, kita kena guna saluran lain,” katanya.

Amirudin turut mencadangkan setiap keluarga mewujudkan satu ‘frasa rahsia’ yang hanya diketahui sesama ahli keluarga bagi mengesahkan identiti sekiranya menerima panggilan kecemasan meminta bantuan atau wang.

“Dalam keluarga, kita boleh buat satu frasa rahsia yang hanya kita saja tahu.

“Contohnya, seorang bapa tiba-tiba telefon anaknya mengatakan kereta rosak dan perlukan bantuan atau duit. Kita boleh uji dengan frasa rahsia keluarga tadi.

“Kalau dia tak dapat jawab, jangan beri. Dia tidak akan tahu rahsia itu,” katanya.

Sementara itu, Inspektor Pusat Panggilan Team D, National Scam Response Centre (NSRC), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Inspektor Teh Zhen Xiang mengingatkan masyarakat supaya bukan sekadar mengetahui mengenai penipuan dalam talian tetapi memahami modus operandi digunakan sindiket.

Beliau berkata antara modus operandi yang perlu diberi perhatian ialah penipuan telekomunikasi, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, penipuan e-dagang, love scam dan kompromi e-mel.

Menurutnya penipuan pelaburan antara yang membimbangkan kerana boleh menyebabkan mangsa mengalami kerugian dalam jumlah besar.

Bagi penipuan e-dagang pula katanya, risiko menjadi mangsa meningkat apabila pengguna meneruskan urusan jual beli di luar platform rasmi terutama menerusi WhatsApp atau Telegram.

Teh turut menekankan kepentingan masyarakat mengetahui fungsi talian 997 dan mengingati nombor berkenaan supaya tindakan dapat diambil apabila berdepan kes penipuan.

Beliau berkata, masih ada individu yang menghadiri ceramah atau forum berkaitan scam tetapi tidak mengingati maklumat penting yang disampaikan, termasuk nombor talian berkenaan.

Ketika ditanya sama ada terdapat jumlah minimum kerugian sebelum seseorang boleh menghubungi 997, Teh berkata tiada had sedemikian ditetapkan.

“Semua ini sesiapa pun boleh (hubungi), sama ada nak tanya secara umum atau dia kena (scam). Had atau limit itu tiada.

“Tak kisah 10 sen pun boleh, tak ada masalah.

“Tak ada limit, ‘unlimited’. Sepuluh sen pun boleh, tak ada masalah,” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *