
KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2026 – Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil
hari ini merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, anjuran Yayasan GoStrong Malaysia dengan kerjasama
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Konvensyen yang menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada ibu bapa,
guru, kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pentadbir sekolah, wakil
agensi kerajaan, rakan strategik serta komuniti itu menjadi platform untuk
memperkukuh kerjasama semua pihak dalam meningkatkan literasi digital dan
membudayakan penggunaan Internet yang selamat, beretika serta
bertanggungjawab.
Penganjuran konvensyen ini juga memperkukuh usaha memperkasa peranan ibu
bapa, pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai barisan hadapan
dalam membimbing anak-anak menggunakan Internet secara selamat, sekali gus
berdepan ancaman digital yang semakin kompleks seperti buli siber, penipuan dalam
talian, eksploitasi digital serta penyebaran kandungan yang memudaratkan.
Bertemakan “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua”, konvensyen ini menjadi
platform untuk memperkukuh kerjasama antara ibu bapa, pendidik, PIBG, agensi
kerajaan dan komuniti dalam meningkatkan literasi digital, memperkasa peranan
keluarga sebagai barisan hadapan perlindungan digital serta membentuk budaya
penggunaan Internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab.
MCMC percaya bahawa perlindungan digital yang berkesan bermula daripada institusi
keluarga.
Melalui pendekatan ini, masyarakat diharap dapat melahirkan generasi yang
lebih celik digital, berdaya tahan dan bertanggungjawab, sekali gus mengurangkan
risiko jenayah siber, meningkatkan keselamatan kanak-kanak dalam talian serta
memperkukuh ekosistem digital yang lebih selamat, inklusif dan dipercayai demi
kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Penganjuran Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 yang kini memasuki siri ketiga
merupakan kesinambungan daripada konvensyen terdahulu yang telah diadakan di
Pahang dan Perak.
Siri ini meneruskan komitmen untuk memperkasa ibu bapa dan
PIBG sebagai barisan hadapan dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman
digital, di samping memperkukuh kerjasama antara sekolah, komuniti dan agensi
berkaitan ke arah membentuk ekosistem keselamatan digital yang lebih selamat dan
berdaya tahan.
Konvensyen ini akan diteruskan di Johor, Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian
daripada usaha berterusan untuk mencapai sasaran memperkasa lebih satu juta
rakyat Malaysia sepanjang tahun 2026 dengan pengetahuan dan pemahaman
mengenai keselamatan dalam talian, termasuk penipuan dalam talian, buli siber, had
umur penggunaan media sosial serta eksploitasi dan penganiayaan seksual kanak-
kanak.
Seiring komitmen tersebut, MCMC akan terus memperluas program advokasi dan
literasi digital, memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, serta
melaksanakan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi
mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, dipercayai dan inklusif
untuk semua, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Pejabat Wilayah Tengah MCMC, Encik Mohamad
Rizal Ahmad serta Pengarah Yayasan GoStrong Malaysia, Encik Mohd Faizal bin
Othman.
Dikeluarkan oleh:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
