
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia Aviation Group (MAG) memperkenalkan saringan dadah wajib ke atas semua juruterbang sebagai langkah memperkukuh keselamatan operasi penerbangan serta memastikan setiap kru berada pada tahap kecergasan fizikal dan mental yang optimum sebelum bertugas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar, berkata fasa pertama pelaksanaan melibatkan 1,260 juruterbang Malaysia Airlines dan dijadual selesai menjelang 15 Ogos.
Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan selaras dengan dasar toleransi sifar MAG terhadap salah laku, susulan penahanan seorang juruterbang syarikat itu baru-baru ini.
Menurutnya, mana-mana juruterbang yang gagal menjalani saringan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan syarikat dan pihak berkuasa kawal selia.
Selain saringan dadah secara berkala, MAG akan terus melaksanakan program saringan rawak sedia ada sebelum memperluaskannya kepada kru kabin aktif sebagai sebahagian usaha memperkukuh budaya keselamatan.
Semua juruterbang operasi juga diwajibkan melengkapkan penilaian IMSAFER sebelum setiap penerbangan bagi menilai tahap kesiapsiagaan mereka berdasarkan faktor kesihatan, pengambilan ubat, tekanan, alkohol, keletihan, emosi serta tempoh sejak penerbangan terakhir.
MAG turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, agensi penguat kuasa dan badan kawal selia dalam memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan penerbangan tertinggi.
