KEBAKARAN HUTAN DI SPOKANE RANAPKAN RATUSAN BANGUNAN, PULUHAN RIBU PENDUDUK DIPINDAHKAN

WASHINGTON, 5 Ogos – Kebakaran hutan yang terus marak di sekitar Spokane, Washington memasuki hari ketiga dengan kemusnahan yang semakin besar apabila sekurang-kurangnya 700 bangunan musnah, manakala puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan demi keselamatan.

Pihak berkuasa memaklumkan, gabungan tiga kebakaran utama yang melanda kawasan itu kini menjadi antara keutamaan tertinggi operasi pemadaman di Amerika Syarikat, khususnya di wilayah Barat Laut Pasifik yang sedang berdepan keadaan kemarau berpanjangan.

Sejak tercetus pada Sabtu lalu, kebakaran telah memusnahkan lebih 8,000 ekar atau kira-kira 3,200 hektar kawasan hutan di utara Spokane, selain menjejaskan kualiti udara di kawasan sekitar akibat kepulan asap tebal yang menyelubungi bandar berkenaan.

Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan pesawat pengebom air giat melaksanakan operasi menggugurkan bahan kalis api bagi mengawal kebakaran yang kini menghampiri kawasan penempatan, kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Spokane.

Pihak berkuasa berkata operasi pemadaman dan penilaian kerosakan masih diteruskan, sementara ribuan penduduk yang terjejas ditempatkan di kawasan pemindahan sehingga keadaan disahkan selamat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *