
31 Julai 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan melaksanakan tapisan terhadap pelarian Rohingya sebagai persediaan bagi penghantaran pulang ke Myanmar, susulan persetujuan kerajaan negara itu untuk menerima semula rakyatnya yang berada di Malaysia. Proses ini dilaksanakan menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23, dengan KDN bertindak sebagai agensi peneraju bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan.
“Proses ini dilaksanakan secara berfasa, teratur dan berpandukan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan setiap individu melalui pengesahan identiti, tapisan keselamatan serta penentuan status sebelum sebarang urusan penghantaran pulang dilaksanakan.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.
Komitmen awal yang dipersetujui melibatkan 5,000 warga Myanmar. Ketika ini terdapat kira-kira 22,000 penghuni di 19 Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara, dengan sekitar 4,000 orang dikenal pasti sebagai warga Myanmar. Mereka akan ditempatkan di sebuah depot khusus bagi memudahkan proses dokumentasi, tapisan keselamatan, pengesahan status serta penyelarasan operasi antara agensi.
Proses tapisan yang sedang dilaksanakan merangkumi pengesahan identiti, tapisan keselamatan oleh PDRM dan JIM, penentuan status serta pengeluaran dokumen pengesahan sebelum sebarang tindakan penghantaran pulang dibuat. Selepas proses tersebut selesai, urusan penyelarasan bersama kerajaan Myanmar akan diteruskan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
KDN komited memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan mengikut undang-undang serta prosedur yang berkuat kuasa, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi demi menjamin keselamatan negara dan pengurusan migrasi yang teratur.
Sumber: Sidang Media Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah, Bukit Kayu Hitam, Kedah, 30 Julai 2026.
