
PUTRAJAYA, 25 Julai – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan secara beramai-ramai ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa oleh lebih 4,200 puak pelampau Yahudi, termasuk seorang menteri rejim Zionis Israel, yang berlaku di bawah perlindungan tentera rejim Zionis Israel pada 23 Julai 2026.
Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), tindakan menyerbu tapak suci ketiga umat Islam itu, disusuli sekatan terhadap jemaah Palestin serta pelaksanaan aktiviti keagamaan tanpa kebenaran di dalam kawasan kompleks berkenaan, merupakan pelanggaran nyata terhadap status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir Tapak Suci tersebut. Tindakan itu juga disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan status Baitulmaqdis Timur yang Diduduki.
Malaysia turut menyifatkan provokasi tersebut sebagai sebahagian daripada corak pelanggaran berterusan oleh rejim Zionis Israel di Baitulmaqdis Timur yang Diduduki, yang bertujuan menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengubah sejarah, undang-undang dan demografi kawasan berkenaan. Keadaan itu bukan sahaja mengancam keamanan dan kestabilan serantau, malah membelakangkan sensitiviti keagamaan umat Islam di seluruh dunia.
Dalam kenyataan sama, Malaysia menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin serta sokongan teguh terhadap hak-hak mutlak mereka, termasuk hak menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang bebas serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Sumber: Kementerian Luar (Wisma Putra)
Sorotan Berita: Jendela Madani
