JEMAAH MENTERI BERSETUJU SECARA DASAR DENGAN CADANGAN PAMPASAN MANGSA KEMALANGAN JALAN RAYA DAN PENGUKUHAN SISTEM KEJARA

PUTRAJAYA, 17 Julai 2026 – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ingin
memaklumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai 2026 telah
bersetuju secara dasar dengan cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan
Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa
kemalangan jalan raya serta memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit
Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

Cadangan ini bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman
seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu, malah turut
dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatannya kepada mangsa serta
keluarga mangsa.
MOT berhasrat supaya jumlah pampasan tidak ditetapkan secara automatik
atau secara pentadbiran oleh Kerajaan.

Sebaliknya, jumlah tersebut ditentukan
oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes, termasuk tahap
keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang
ditanggung mangsa atau waris serta kemampuan pesalah untuk membayar.

Mekanisme pampasan yang dicadangkan ini juga tidak akan menjejaskan hak
mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan
sivil melalui saluran perundangan sedia ada.

Pada masa yang sama, Sistem KEJARA akan diperkukuh sebagai mekanisme
pencegahan bagi mengenal pasti dan mengawal pemandu berisiko tinggi serta
pesalah berulang.

Penambahbaikan yang dicadangkan merangkumi tatacara
pemakluman mata demerit yang lebih jelas, mekanisme representasi dan
semakan pentadbiran, serta pelarasan atau penghapusan mata demerit
sekiranya sesuatu kesalahan tidak dibuktikan atau tiada sabitan dikenakan.

Cadangan pampasan mangsa kemalangan jalan raya dan pengukuhan sistem
KEJARA merupakan langkah penting dalam memperkukuh keadilan,
akauntabiliti dan keselamatan di jalan raya. MOT komited untuk memastikan
kerangka perundangan yang dibangunkan kelak bukan sahaja memberikan
pembelaan yang sewajarnya kepada mangsa dan waris, tetapi juga
memastikan pesalah bertanggungjawab atas perbuatan mereka serta
mencegah kesalahan jalan raya daripada berulang.

Susulan persetujuan dasar Jemaah Menteri tersebut, MOT akan memulakan
proses penggubalan pindaan kepada Akta 333.

Perincian mekanisme yang
dicadangkan akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan pindaan yang
digubal jelas, adil dan berkesan sebelum dikemukakan semula kepada Jemaah
Menteri untuk pertimbangan dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA
17 JULAI 2026
-TAMAT-

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *