
16 Julai 2026
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Profesor John L. Esposito, seorang tokoh akademik tersohor dunia yang telah memberi sumbangan besar dalam memperkukuh kefahaman mengenai Islam serta membina jambatan persefahaman antara dunia Islam dan Barat.
Menurut Perdana Menteri, persahabatan yang terjalin sejak awal tahun 1970-an telah berlangsung lebih lima dekad, menjadikan Allahyarham bukan sahaja seorang ilmuwan yang disegani, malah sahabat yang sentiasa memberikan pandangan bernas, sokongan dan nasihat dalam pelbagai keadaan.
Sepanjang hayatnya, Profesor John L. Esposito memainkan peranan penting dalam memperkenalkan wajah Islam yang sebenar kepada masyarakat antarabangsa melalui penulisan, penyelidikan dan dialog antara agama. Beliau mengasaskan Centre for Muslim-Christian Understanding di Universiti Georgetown serta menghasilkan pelbagai karya ilmiah yang menjadi sumber rujukan utama dunia dalam memahami Islam secara adil, berimbang dan berasaskan fakta.
Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada dunia akademik serta usaha memperkukuh keharmonian antara agama dan tamadun. Legasi ilmu, nilai toleransi dan komitmen beliau terhadap dialog yang membina akan terus dikenang serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Jean, seluruh ahli keluarga, rakan akademik, para pelajar dan semua yang pernah mengenali beliau.
Semoga segala jasa, ilmu dan usaha murni Allahyarham dalam memupuk persefahaman serta keamanan sejagat terus memberi manfaat kepada umat manusia, dan semoga rohnya dicucuri rahmat.
Al-Fatihah dan salam takziah.
Sumber FB Anwar Ibrahim Perdana Menteri
Sorotan Berita Jendela Madani
