
SEREMBAN, 16 Julai 2026 – Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini meneruskan komitmennya
dalam memperkukuh agenda Malaysia MADANI menerusi peluncuran Program Kampung
Angkat MADANI (KAM), Sekolah Angkat MADANI (SAM) dan Santuni MADANI Tahun 2026 yang
memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti secara holistik melalui pendekatan
berteraskan kesejahteraan rakyat, pendidikan berkualiti serta pembangunan modal insan.
Majlis peluncuran telah disempurnakan oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, di
Kampung Mantin Dalam, Seremban, Negeri Sembilan.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap
kementerian bukan sahaja melaksanakan fungsi teras masing-masing, malah turut memainkan
peranan aktif mendekati rakyat, memahami keperluan komuniti serta melaksanakan inisiatif
yang memberi impak secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
RM600,000 PERKASA PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU MANTIN
Bagi Program Kampung Angkat MADANI Tahun 2026, Kampung Baru Mantin dipilih sebagai
Kampung Angkat MADANI Kementerian Pengangkutan dengan peruntukan keseluruhan
sebanyak RM600,000.
Daripada jumlah tersebut, RM500,000 disalurkan kepada Majlis Bandaraya
Seremban (MBS) sebagai agensi pelaksana bagi melaksanakan projek pembangunan yang
dikenal pasti hasil sesi libat urus bersama penduduk, manakala RM100,000 diperuntukkan
kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong untuk melaksanakan program
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran,
memperkukuh pembangunan modal insan serta membuka peluang pekerjaan kepada
masyarakat setempat.
RM100,000 PERKUKUH PENDIDIKAN MELALUI SEKOLAH ANGKAT MADANI
Dalam aspek pendidikan, SJK(C) Chung Hua Mantin dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI
(SAM) Kementerian Pengangkutan dengan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi pembelian
Smart Board serta pelaksanaan program pembangunan profesional kepada guru dan Anggota
Kumpulan Pelaksana (AKP).
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh penggunaan teknologi dalam
proses pengajaran dan pembelajaran, di samping meningkatkan kualiti penyampaian
pendidikan di sekolah berkenaan.
SANTUNI MADANI DEKATI KOMUNITI, BUDAYAKAN KESELAMATAN JALAN RAYA
Melalui Program Santuni MADANI, Kampung Mantin Dalam dipilih sebagai lokasi pelaksanaan
program yang memberi penekanan kepada pendekatan turun padang bagi mengenal pasti
keperluan sebenar komuniti.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penyampaian topi
keledar kepada penduduk sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan membudayakan
keselamatan jalan raya, di samping penyelarasan bersama kementerian, jabatan dan agensi
berkaitan bagi menangani isu kemudahan awam dan infrastruktur yang dibangkitkan oleh
masyarakat.
Dalam ucapannya, YB Loke Siew Fook menegaskan bahawa Program Kampung Angkat
MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Santuni MADANI merupakan komitmen jangka panjang
Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap kementerian sentiasa turun padang, mendengar
sendiri keperluan rakyat serta melaksanakan penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat
kepada komuniti.
“Program-program ini bukan program bermusim dan bukan untuk tujuan pilihan raya. Sebaliknya,
ia merupakan komitmen jangka panjang Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap
kementerian turun padang, mendengar sendiri suara rakyat, memahami keperluan komuniti dan
menyelesaikan isu-isu yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan mereka.”
Kementerian Pengangkutan akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak
berkuasa tempatan, jabatan, agensi serta rakan strategik bagi memastikan pelaksanaan
Program Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Santuni MADANI terus
memberi manfaat yang berkekalan kepada komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
16 JULAI 2026
