
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membatalkan sepenuhnya Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk had pembelian 50 liter, 100 liter dan 150 liter, berkuat kuasa mulai hari ini.
Pembatalan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter, selain pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak.
Sehubungan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel tersebut tidak lagi berkuat kuasa.
KPDN memaklumkan mekanisme baharu itu diyakini dapat memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak. Kementerian turut menyeru semua pihak mematuhi sepenuhnya mekanisme baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.
Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
