




1 Julai 2026
Perdana Menteri menegaskan, Majlis Pendidikan Negara diwujudkan bukan sekadar untuk membuat penyesuaian, tetapi memacu perubahan yang berani dan bermakna.
Katanya, langkah itu ialah agar sistem pendidikan negara kekal relevan dengan tuntutan zaman.
Dengan demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu dilakukan penambahbaikan kandungan dan kurikulum, di samping memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tanpa mengabaikan nilai, budaya, bahasa kebangsaan dan akhlak yang menjadi teras Malaysia MADANI.
Beliau juga berkata, pendidikan negara perlu dinilai secara objektif, berpandukan pandangan serta kepakaran pelbagai pihak, agar setiap langkah yang diambil benar-benar mempersiapkan generasi masa hadapan.
“Budaya berpuas hati dengan sistem sedia ada tidak boleh menghalang kemajuan dan yang lebih penting ialah kesediaan untuk berubah, berani melakukan pembaharuan dan terus mengangkat mutu pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian dalam catatan di laman Facebooknya selepas mempengerusika Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 di Putrajaya.
Fokus mesyuarat adalah untuk meneliti hala tuju pendidikan negara merangkumi pendidikan sekolah dan pengajian tinggi.
Perbincangan dalam mesyuarat tertumpu kepada usaha meningkatkan mutu pendidikan di peringkat daerah, memperkasa agenda pendidikan Bumiputera serta membina hala tuju bakat STEM demi memenuhi keperluan masa hadapan negara.
