𝗩𝗘𝗦𝗘𝗟 𝗡𝗘𝗟𝗔𝗬𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗠𝗣𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗟𝗔𝗡𝗚𝗚𝗔𝗥 𝗦𝗬𝗔𝗥𝗔𝗧 𝗟𝗘𝗦𝗘𝗡 𝗗𝗜𝗧𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗥𝗜𝗧𝗜𝗠 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔

𝗟𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗪𝗜, 𝟭𝟴 𝗝𝘂𝗻 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang disyaki telah melanggar syarat sah lesen dalam satu rondaan rutin OP AMAN, OP TIRIS 4.0, OP KHAS TANJUNG 2 SIRI 1/2026 di kedudukan lebih kurang 9.4 batu nautika Barat Tanjung Chinchin pada jam 11.40 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, VNT terbabit bersama seorang tekong dan tiga orang kru warganegara Thailand yang berumur antara 32 hingga 52 tahun ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika,” jelas beliau.

Ujar Laksamana Pertama Maritim Romli lagi, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM320,000 vesel beserta barang kes dan kru ditahan dan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai diminta melaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *