



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JUN 2026
Rakyat mesti berani menolak budaya politik yang menjadikan perbezaan sebagai wahana mencapai kuasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tambahan Malaysia tidak dibina atas asas kebencian antara kaum mahupun agama.
Beliau berkata sejarah panjang manusia mengajar bahawa membina sesebuah negara atau tamadun, ia menuntut kesabaran yang tinggi, hikmah dan kebijaksanaan, mengelak sikap gopoh, serta punyai iltizam yang utuh dan jitu.
DENGAN MEMICU KEBENCIAN
“Namun, untuk meruntuhkannya mudah, yakni dengan memicu kebencian, melebar perbezaan dan sikap angkuh yang dibiar menyemarak,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau berucap melancarkan jentera pilihan raya PH Negeri Sembilan di Seremban malam ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PH Anthony Loke, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan PKR merangkap Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan kepimpinan tertinggi yang lain.
MENCAPAI TITIK TEMU
Anwar berkata Malaysia terbina dari kesediaan generasi dan pemuka terdahulu yang berusaha mencari dan mencipta titik temu dalam kepelbagaian dan mengangkat martabat negara secara bersama.
“Walhasil, masa depan negara tidak harus dicorak oleh mereka yang memecahkan,” kata beliau.
Jelas Anwar masa depan negara mesti dipimpin dan dikemudi oleh mereka yang berani menyatukan, tegar berkhidmat dan menterjemah amanah rakyat dengan sikap tanggungjawab yang tinggi. – JM
