PELUNCURAN INISIATIF CERMAT MADANI BAGI MENGGALAKKAN PEMANDU BERHEMAH MELALUI PENILAIAN PREMIUM INSURANS BERASASKAN RISIKO

9 Jun 2026

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ingin memaklumkan mengenai
peluncuran Inisiatif CERMAT MADANI yang bertujuan menggalakkan budaya
pemanduan yang lebih selamat, bertanggungjawab dan berhemah melalui
penggunaan maklumat serta data yang relevan dalam penilaian risiko
insurans kenderaan.

Inisiatif ini berasaskan prinsip bahawa pemandu yang mematuhi undang-
undang, mempunyai rekod pemanduan yang baik dan sentiasa
mengutamakan keselamatan wajar diberikan pengiktirafan yang setimpal,
selaras dengan usaha Kerajaan untuk memperkukuh keselamatan jalan raya
negara melalui pendekatan yang lebih progresif, berasaskan data dan
memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

LATAR BELAKANG

Sejak tahun 2025, MOT menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ)
telah mula bekerjasama dengan rakan-rakan strategik untuk menawarkan
perkhidmatan insurans kenderaan melalui aplikasi MyJPJ.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk
menjadikan MyJPJ bukan sahaja sebagai aplikasi bagi urusan dan semakan
perkhidmatan JPJ, tetapi juga sebagai sebuah gerbang digital yang lebih
menyeluruh, mudah dan mesra rakyat.

MOT turut menggalakkan penyertaan lebih ramai pemain industri yang
berkelayakan untuk menawarkan perkhidmatan pihak ketiga melalui aplikasi
MyJPJ, tertakluk kepada keperluan teknikal, keselamatan data dan tadbir urus
yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Dalam konteks ini, MyJPJ berperanan sebagai pemula dan gerbang digital
yang membuka ruang kepada inovasi perkhidmatan, manakala manfaat
premium kepada pengguna adalah berasaskan penilaian risiko oleh industri
insurans dan takaful.

Melalui CERMAT MADANI, pendekatan ini diperkukuh ke tahap yang lebih
bermakna dengan membolehkan penilaian premium insurans dibuat secara
lebih berasaskan risiko sebenar pemandu dan kenderaan.

Bank Negara Malaysia telah melaksanakan liberalisasi tarif insurans motor
secara berperingkat, yang memberikan ruang kepada penanggung insurans
dan takaful untuk menawarkan produk serta menetapkan premium
berdasarkan penilaian risiko yang lebih terperinci.

Dalam persekitaran insurans yang lebih berasaskan risiko, pemandu yang
mempunyai rekod pemanduan yang baik, mematuhi undang-undang dan
menunjukkan tahap risiko yang lebih rendah berpeluang dipertimbangkan
untuk menikmati premium yang lebih kompetitif.

PELAKSANAAN

Di bawah CERMAT MADANI, pemandu yang memandu secara berhemah
dan dinilai mempunyai profil risiko lebih rendah boleh dipertimbangkan untuk
menikmati manfaat premium sehingga 10%, tertakluk kepada penilaian dan
keputusan syarikat insurans atau pengendali takaful yang mengambil
bahagian.

Manfaat premium ini adalah berbeza daripada rebat atau promosi komersial.
Ia hendaklah berasaskan profil risiko sebenar pemandu serta keputusan
penilaian oleh syarikat insurans atau pengendali takaful masing-masing.

CERMAT MADANI akan dilaksanakan secara berperingkat. Pada fasa
permulaan, inisiatif ini menyediakan asas kerjasama antara Kerajaan dengan
industri insurans dan takaful bagi membolehkan manfaat kepada pemandu
berhemah diberikan secara lebih tersusun.

Seterusnya, pendekatan ini akan diperkukuh melalui penggunaan data dan
kaedah penilaian risiko yang lebih menyeluruh, supaya manfaat premium
dapat diberikan secara lebih tepat, adil dan mampan.

Inisiatif ini bukan sekadar pembaharuan dalam sistem insurans, tetapi
merupakan intervensi keselamatan jalan raya yang menggunakan insentif
ekonomi untuk mempengaruhi tingkah laku pemanduan secara positif.

Apabila pemanduan selamat diberi nilai dan pengiktirafan, MOT berharap
lebih ramai pemandu akan mematuhi had laju, mematuhi isyarat lalu lintas,
mengelakkan kesalahan berulang dan lebih bertanggungjawab terhadap
keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Keselamatan jalan raya bukan hanya soal statistik atau angka. Ia adalah soal
nyawa manusia, keselamatan keluarga dan kesejahteraan komuniti.

Setiap
perubahan tingkah laku yang dapat mencegah kemalangan,
mengurangkan kecederaan dan menyelamatkan nyawa merupakan satu
kejayaan yang tidak ternilai.
MOT komited untuk memastikan jalan raya negara menjadi lebih selamat,
sistem penilaian premium insurans menjadi lebih adil, dan rakyat yang
memandu secara berhemah terus diberikan penghargaan sewajarnya.

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA
9 JUN 2026

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT, KEMENTERIAN PENGANGKUTAN

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *