
UBAH TANGGAPAN, BINA HARAPAN:
KERAJAAN DAN MEDIA SEPAKAT PERKUKUH PELAPORAN
SELAMAT DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT
UNTUK SIARAN SEGERA
8 JUN 2026
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI hari ini memperkukuh komitmen dalam melindungi
keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan mental rakyat melalui Sesi Persidangan
Meja Bulat (Round Table Discussion) Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah
Laku Bunuh Diri, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk
Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil.
Kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian
Komunikasi (KK) dan The Communications and Multimedia Content Forum of
Malaysia (CMCF) ini memfokuskan kepada pembangunan garis panduan kandungan
serta pelaporan selamat dalam persekitaran media dan platform digital.
Sesi dialog yang julung kali diadakan ini berjaya menghimpunkan kepimpinan
kerajaan bersama ketua pengarang, badan industri dan pengamal media serta rakan
strategik.
Kolaborasi ini membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam
menangani isu kesihatan mental serta keselamatan awam secara holistik, merentas
kementerian dan sektor.
Dalam era digital hari ini, komunikasi menerusi media memainkan peranan penting
dalam membentuk persepsi, mengurangkan stigma serta menggalakkan masyarakat
tampil mendapatkan bantuan demi kesejahteraan bersama.
Sesi tersebut turut menyaksikan pemeteraian Ikrar Media Malaysia oleh wakil
organisasi media dan badan kewartawanan iaitu Majlis Media Malaysia (MMM),
Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) serta National Union of Journalist Malaysia
(NUJ).
Langkah ini menjadi lambang komitmen kolektif industri media dalam
memperkukuh amalan pelaporan yang selamat, beretika dan bertanggungjawab
berkaitan isu tingkah laku bunuh diri.
Sesi ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program MySAVE (Malaysia Suicide
Awareness Voice of Hope) melalui pendekatan mengutamakan kepentingan
kesihatan awam, selari dengan hasrat pimpinan kerajaan menuju sebuah negara
bangsa yang maju dan sejahtera dalam semua aspek, termasuk kesihatan mental.
Kerajaan turut menegaskan sokongan berterusan terhadap amalan pelaporan media
yang mematuhi prinsip keselamatan, empati dan tanggungjawab sosial, tanpa
menjejaskan kebebasan media sebagai tonggak penting masyarakat demokratik.
