Polis Padang Besar rampas 5 kenderaan milik tempatan, asing ubah suai tangki tambahan

Oleh: Sholina Osman
Foto: IPD Padang Besar
1 JUN 2026

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar terus komited dan agresif dalam membanteras kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi yang dipercayai berlaku di kawasan sempadan negara dalam daerah ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah pihaknya telah menubuhkan pasukan Task Force OP Tiris 4.0 Ibu IPD Padang Besar bagi mempergiat usaha pengesanan, pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sindiket yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

Beliau menjelaskan hasil tindakan berterusan dan maklumat risikan yang diperoleh, pelbagai kejayaan telah dicapai.

“Bermula dari 22 April 2026 hingga 1 Jun 2026, Task Force Op Tiris 4.0 IPD Padang Besar telah berjaya menahan dan merampas sebanyak lima buah kenderaan di beberapa lokasi berasingan sekitar Daerah Padang Besar,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

TIGA BUAH KENDERAAN

Mohd Shokri berkata rampasan tersebut melibatkan tiga buah kenderaan tempatan dan dua buah kenderaan dari negara asing.

Jelas beliau hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kenderaan yang dirampas, terdiri daripada sebuah kenderaan jenis pikap dan empat buah kenderaan jenis Sedan, dipercayai telah diubah suai dengan tangki tambahan yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang bagi tujuan penyimpanan dan pengangkutan bahan api dalam kuantiti yang besar.

Dalam operasi tersebut, beliau berkata seramai lima orang suspek berusia antara 30 hingga 55 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

WANITA WARGA TEMPATAN

“Mereka terdiri daripada seorang wanita warga tempatan dan empat lelaki iaitu dua warga tempatan serta dua warga asing,” tambah Mohd Shokri.

Beliau berkata kesemua kenderaan yang dirampas telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padang Besar untuk tindakan lanjut serta disita bagi tujuan siasatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM36,300.00,” kata beliau lagi.

Mohd Shokri berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan mengubah suai kenderaan bermotor sehingga menjadikannya tidak mematuhi spesifikasi asal atau tidak sah di sisi undang-undang.

JIKA SABIT KESALAHAN

Beliau berkata jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Tangki-tangki yang telah diubah suai dan dipasang secara tidak sah pada kenderaan berkenaan akan ditanggalkan serta menunggu arahan pelupusan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang,” kata beliau.

Mohd Shokri berkata Polis Padang Besar akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi serta sebarang bentuk jenayah rentas sempadan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *