
CYBERJAYA, 1 Jun 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) hari ini mengumumkan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-
Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation
Code, RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act
2025, ONSA), menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan
persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak di Malaysia.
CPC memperkukuh perlindungan kanak-kanak dengan mewajibkan pemberi
perkhidmatan media sosial berlesen untuk melaksanakan langkah keselamatan
kanak-kanak dalam reka bentuk (safety by design) serta mempertingkatkan
perlindungan yang bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak dalam
persekitaran digital negara.
Selaras dengan tanggungjawab berkanun di bawah ONSA, pemberi
perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah
perlindungan termasuk pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur
minimum 16 tahun.
Pengesahan umur hendaklah dibuat berdasarkan rekod
yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia atau rekod setara yang dikeluarkan
oleh pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
Mulai 1 Jun 2026, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen hendaklah
memastikan hanya pengguna yang berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan
mendaftar akaun serta mengakses mana-mana ciri perkhidmatan yang
bersesuaian dengan umur mereka.
Bagi pengguna sedia ada, pengesahan umur akan dilaksanakan secara progresif
dalam tempoh sehingga enam bulan oleh pemberi perkhidmatan media sosial
yang berkaitan.
Dalam tempoh tersebut, pengguna sedia ada yang dikenal pasti
berumur di bawah 16 tahun akan diberikan satu bulan untuk memuat turun atau
memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang
sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh penyedia
perkhidmatan media sosial yang berkaitan.
Keperluan pengesahan umur ini terpakai kepada perkhidmatan media sosial
berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, selaras dengan
kebimbangan yang semakin meningkat berhubung keselamatan dalam talian
dan aspek perkembangan kanak-kanak.
MCMC menggesa semua pemberi
perkhidmatan media sosial berlesen mematuhi sepenuhnya obligasi statutori
mereka di bawah CPC dan ONSA, termasuk melaksanakan langkah pengesahan
umur yang berkesan di platform masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.
MCMC memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan ini dan
akan mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya
selaras dengan undang-undang.
RMC melengkapkan langkah-langkah tersebut dengan mewajibkan pemberi
perkhidmatan melaksanakan perlindungan secara proaktif, termasuk
menjalankan penilaian risiko, memperkukuh penyederhanaan kandungan,
menyediakan kawalan keselamatan pengguna serta meningkatkan akauntabiliti
platform.
MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan,
pemain industri dan masyarakat bagi memupuk persekitaran dalam talian yang
lebih selamat dan bertanggungjawab.
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC
