
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan
menguatkuasakan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 secara rasmi bermula 1
Jun 2026 sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna serta
memastikan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil, telus dan berdaya
saing. Sejajar dengan pindaan ini, Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj
Terma) 2026 [P.U.(A) 171/2026] akan turut berkuat kuasa.
Penguatkuasaan ini adalah susulan daripada pindaan kepada Akta Sewa
Beli 1967 yang telah diluluskan di Parlimen pada tahun 2025 sebagai
sebahagian daripada ikhtiar memperkukuh kerangka perundangan
berhubung ekosistem kredit penhgguna.
Sebelum pindaan ini, antara isu yang sering menjadi keluhan rakyat adalah
berkaitan transaksi sewa beli dalam pembelian kenderaan, khususnya
melibatkan beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih
tinggi walaupun pengguna membuat penyelesaian awal pinjaman.
Keadaan
ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal
terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan
kos sebenar pinjaman.
Antara inti pati utama pindaan yang telah dibuat meliputi:
a) Pemansuhan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (tflat rate)
dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78). Di bawah kaedah tersebut,
sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh
pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya
sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.
Peruntukan baharu melalui pindaan yang telah dibuat
memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance
method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi
pinjaman sewa beli berkadar tetap.
Melalui kaedah ini, faedah dikira
berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan
penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna.
b) Penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli sejajar dengan
transformasi digital. Ini termasuk kebenaran untuk menggunakan
tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik
bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian.
Di samping itu, pindaan ini turut memperkenalkan keperluan dua (2)
pelaksanaan usaha wajar (due diligence) untuk pengesahan identiti
peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.
Bagi fasa awal bermula 1 Jun 2026, sebanyak sebelas (11) entiti institusi
kewangan dan syarikat penyedia sewa beli telah bersedia sepenuhnya dan
akan menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan pindaan peruntukan
yang termaktub dalam Akta 212 dan peraturan subsidiari.
Manakala, fasa
kedua disasarkan bermula pada bulan September 2026.
Para pengguna
yang ingin mendapat manfaat di bawah peruntukan undang-undang baharu
ini dinasihatkan untuk membuat semakan berkaitan sebelum
memuktamadkan perjanjian sewa beli.
Pada masa yang sama, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli
yang masih dalam proses persediaan termasuk integrasi dan
pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan (grace period) sehingga
31 Mac 2027. Institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli digalakkan
untuk menawarkan perkhidmatan berdasarkan kerangka undang-undang
baharu ini pada kadar segera dan memaklumkan Kementerian sebaik
memuktamadkan proses peralihan.
Reformasi undang-undang ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk
mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti,
meningkatkan tadbir urus industri, serta melindungi hak dan kepentingan
rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.
YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup
Putrajaya
31 Mei 2026
