PELANCARAN PUSAT PEMERIKSAAN KENDERAAN MOTOR (PPKM) TUKAR HAK
MILIK PERSENDIRIAN (M.V.15) OLEH CARRO TECHNOLOGY SDN. BHD.

KAJANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengalu-alukan pelancaran Pusat
Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi Pemeriksaan Tukar Hak Milik
Persendirian (M.V.15) oleh Carro Technology Sdn. Bhd. akan mula beroperasi secara
serentak melibatkan lapan (8) cawangan bermula 16 Jun 2026.

Pelancaran ini adalah susulan kepada pengumuman Kerajaan pada 16 Julai 2025
berhubung pelantikan syarikat-syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan
Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khusus untuk Pemeriksaan Tukar Hak Milik
Persendirian (M.V.15) selain daripada PUSPAKOM.

26 Mei 2026

Inisiatif ini juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac
2023 yang bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang
diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat-
syarikat lain yang berkelayakan.

Sebanyak lapan (8) pusat pemeriksaan Carro akan mula beroperasi serentak pada 16
Jun 2026 di lokasi berikut:

  • Glenmarie, Selangor;
  • Wangsa Melawati, Kuala Lumpur;
  • Kajang, Selangor;
  • Klang, Selangor;
  • Bayan Lepas, Pulau Pinang;
  • Melaka; • Muar, Johor; dan
  • Johor Bahru, Johor

Untuk makluman, operasi PPKM M.V.15 oleh Carro Technology Sdn. Bhd. adalah
tertakluk kepada syarat dan piawaian ketat yang ditetapkan oleh Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk penyediaan infrastruktur dan peralatan
pemeriksaan yang lengkap, integrasi sistem operasi dengan MySIKAP,
mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan, serta memastikan Pemeriksa
Kenderaan Motor menjalani program pentauliahan yang ditetapkan oleh JPJ sebelum
dibenarkan beroperasi.

Carro juga perlu menyediakan ruangan atau lorong pemeriksaan khas serta
kakitangan yang berasingan bagi tujuan pemeriksaan tukar hak milik, selaras dengan
pematuhan kepada standard ISO/IEC 17020:2012 – Conformity Assessment
Requirements for the Operation of Various Types of Bodies Performing Inspection.

Antara syarikat lain yang sedang dalam proses pembangunan cawangan PPKM M.V.15
adalah Syarikat Carsome Academy Sdn Bhd (Sg.Buloh, Selangor), Car Medic Sdn.
Bhd. (Kajang dan Serdang, Selangor) dan Beriman Gold Sdn. Bhd. (Kuching, Miri,
Sibu, Bintulu, Sarawak).

Pembukaan pusat pemeriksaan baharu ini membuktikan
komitmen kerajaan dalam memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan
pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap dan berkualiti, sekali gus menyediakan
lebih banyak pilihan serta membantu mengurangkan kesesakan sedia ada.

Pada masa yang sama, MOT dan JPJ akan terus memastikan semua pengendali PPKM
mematuhi standard keselamatan, keperluan teknikal dan tahap integriti yang telah
ditetapkan demi kepentingan serta keselamatan pengguna jalan raya.

MOT dan JPJ
yakin langkah memperluaskan pusat pemeriksaan kenderaan ini akan menyokong
usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan
awam serta meningkatkan tahap keselamatan jalan raya negara.

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
26 MEI 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *