
23 Mei 2026
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia menolak politik kebencian dan perpecahan kaum serta agama, sambil menegaskan sudah tiba masanya majoriti rakyat bersuara mempertahankan keharmonian negara.
Perdana Menteri berkata, golongan kecil yang memainkan sentimen perkauman dan agama tidak seharusnya dibenarkan menentukan hala tuju negara.
“Ini seolah-olah kezaliman golongan minoriti. Kekejaman kelompok kecil yang memaksa kehendak mereka ke atas golongan majoriti.
“Saya nak ambil kesempatan ini dan merayu… sudah sampai ketikanya majoriti bersuara dari hati nurani mereka untuk menyelamatkan negara kita dan memajukan semua,” katanya ketika berucap pada Wacana Harmoni MADANI di Menara Kent hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh serta Presiden Majlis Perundingan Buddha Malaysia Lillian Chang.
Perdana Menteri berkata Malaysia sejak awal penubuhannya dibina atas asas perpaduan dalam kepelbagaian seperti yang digagaskan Tunku Abdul Rahman.
Menurutnya, konsep MADANI bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya meneruskan asas pembinaan negara yang menghormati kepelbagaian kaum dan agama.
“Dalam negara MADANI ini, kita bukan melakar sesuatu yang baru tetapi kita meneruskan agenda yang telah ditetapkan oleh pengasas negara kita,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap budaya kebencian yang semakin menular khususnya di media sosial dan arena politik.
“Bagaimana boleh tiada lagi semangat Metta (cinta dan kasih sayang dalam ajaran Buddha), tiada lagi semangat Rahman (pemurah) dan Rahim (penyayang)? Yang ada hanya gaduh dan permusuhan,” katanya.
Anwar berkata semua agama mengajar nilai belas ihsan, keamanan dan kasih sayang, namun ia sering gagal diterjemahkan dalam amalan masyarakat.
“Saya seorang Muslim. Saya cuba menjadi Muslim yang baik tetapi saya gagal memahami di mana dalam agama saya mengajar kebencian dan permusuhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata rakyat perlu bergerak melangkaui polemik perkauman dan memberi fokus kepada usaha membangunkan negara.
“Tak bolehkah wacana kita itu berubah daripada perpecahan kepada kasih sayang, kepada MADANI, ihsan, hormat dan kemanusiaan,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan sentiasa bekerja keras menangani cabaran ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.
“Setiap Isnin kami mengadakan mesyuarat pra-Majlis untuk memahami cabaran ekonomi. Selasa pula Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Rabu mesyuarat Kabinet.
“Kami bekerja keras untuk cuba membantu membina negara ini,” katanya.
Anwar berkata Malaysia telah membuktikan negara berbilang kaum dan agama mampu terus kekal aman serta berjaya hasil komitmen rakyat dan pemimpin terdahulu.
“Sudah sampai masanya rakyat Malaysia memutuskan bahawa kita sudah muak dengan politik kebencian dan perpecahan,” katanya.
