






21 Mei 2026
Kuala Lumpur – Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2026 (FIM2026) kembali pada
tahun ini dengan skala lebih besar dan dinamik, menghimpunkan lebih banyak jenama francais
tempatan dan antarabangsa sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab
francais utama di rantau ASEAN.
FIM2026 berlangsung dari 21 hingga 23 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),
dengan sasaran kehadiran seramai 25,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat disediakan kepada pengunjung termasuk
sesi seminar dan forum perniagaan, pameran jenama francais tempatan dan antarabangsa,
sesi padanan perniagaan, sesi perkongsian francais serta program edutainment.
Sebagai platform pameran francais terbesar di negara ini, FIM memainkan peranan penting
dalam merancakkan pembangunan industri francais negara melalui penyediaan platform
strategik kepada usahawan, pelabur, bakal francaisi dan pemain industri untuk meneroka
peluang perniagaan, memperluas jaringan kerjasama serta memperkukuhkan daya saing
jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan komited
untuk terus memperkukuh pembangunan industri francais negara dengan menyokong lebih
banyak jenama tempatan menembusi pasaran antarabangsa dan bersaing secara kompetitif di
peringkat global.
“Banyak jenama francais Malaysia telah berjaya mengembangkan operasi ke pasaran
antarabangsa, sekali gus membuktikan kekuatan, kualiti dan inovasi perniagaan tempatan.
“Jenama seperti Global Art kini berkembang ke lebih 20 negara dengan lebih 600 pusat seni,
manakala Marrybrown telah melebarkan sayap ke 16 negara dengan lebih 500 cawangan.
“Pencapaian ini membuktikan daya saing global serta pengaruh yang semakin berkembang bagi
jenama francais Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan yang dibacakan
oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk
Armizan Mohd Ali di Majlis Perasmian FIM2026.
Majlis turut menyaksikan beberapa aktiviti lain seperti pertukaran Memorandum Perjanjian
Persefahaman (MOU) antara MFA dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Pelancaran
program TVET MFA dan penyampaian sijil graduasi kepada peserta program Latihan
professional francais iaitu Certified Franchise Executive (CFE) Program.
FIM2026 menampilkan lebih 100 jenama francais tempatan dan antarabangsa merangkumi
pelbagai sektor, termasuk 20 jenama bakal francais dan dalam proses pembangunan francais
di bawah Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, FIM2026 turut mencatat peningkatan 10
peratus penyertaan jenama antarabangsa berbanding tahun lalu dengan penglibatan syarikat
dari Sepanyol, Taiwan, Indonesia, Jepun dan China.
Menurut beliau, perkembangan tersebut mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa
terhadap potensi Malaysia sebagai pusat pertumbuhan industri francais serantau.
Program ini turut mendapat sokongan daripada rakan strategik termasuk US PIZZA, The
Manhattan Fish Market, Momoyo, IBooze, Domino’s, Marrybrown, SMM Education Group,
Kyochon Chicken, HOME Maths Therapy, Miramira, McDonald’s, Meiko dan Midyson.
FIM2026 dianjurkan oleh MFA dengan kerjasama KPDN dan Pernas. Program ini turut
disokong oleh pelbagai agensi antarabangsa serta rakan strategik dari negara-negara ASEAN.
FIM juga merupakan satu-satunya pameran francais di Malaysia yang mendapat pengiktirafan
daripada World Franchise Council (WFC), Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan
Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).
Orang ramai dijemput hadir bagi meneroka pelbagai peluang perniagaan francais yang
ditawarkan mengikut minat dan kecenderungan masing-masing. Untuk maklumat lanjut, layari
laman web rasmi www.myfim.my.
INFO PAMERAN FRANCAIS ANTARABANGSA MALAYSIA 2026
- Franchise International Malaysia 2026 (FIM2026) adalah penganjuran kali ke-33 sejak mula dianjurkan pada
tahun 1994. - Diperkenalkan dengan nama asal Malaysian International Franchise Conference & Exhibition selaras dengan
pelancaran Program Pembangunan Francais pada tahun tersebut. - Sejak mula diperkenalkan FIM telah mendapat sokongan berterusan daripada badan induk francais
antarabangsa iaitu World Franchise Council (WFC) dan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) - FIM2026 menyasarkan lebih 25,000 kehadiran pengunjung dengan nilai jualan sebanyak RM600 juta.
